Skip to main content

Hiburan

Konsert 'Memento Mori' rai 35 tahun penubuhan Exists

Konsert Exist
Iman Tang (empat dari kiri) bersama anggota Exists dari kiri Musa, Along, Ezad, Mamat, Ujang, Ajai dan Shah, dalam sidang media konsert di ibu negara.

KUALA LUMPUR: Meneruskan legasi sejak 35 tahun lalu, kumpulan legenda era 90-an Exists tampil dengan Konsert Exists Memento Mori, menggambarkan perjalanan panjang mereka dalam industri muzik Nusantara.

Konsert yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos depan di Unifi Arena, merupakan konsert besar pertama Exists selepas penganjuran Konsert Exists Reunion pada 2019 di Shah Alam dan Singapura.

Mengangkat frasa 'Memento Mori' yang bermaksud menghargai setiap saat dalam kehidupan, konsert ini menjadi refleksi perjalanan Exists, bermula dengan kejayaan besar lagu Untukmu Ibu, berdepan fasa suram susulan perubahan landskap muzik, sebelum bangkit kembali menawan hati peminat dengan karya-karya segar.

Pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, yang bertindak sebagai penganjur menyifatkan konsert ini sebagai penghargaan terhadap legasi Exists yang kekal relevan meskipun industri hiburan semakin mencabar.

β€œMengekalkan usia 35 tahun dalam industri hiburan, khususnya dalam beberapa dekad kebelakangan ini dengan pasaran yang tidak menentu, bukan sesuatu yang mudah.

β€œNamun Exists, seperti maksud namanya, wujud, terus bertahan walaupun pernah melalui fasa redup. Mereka kembali relevan bukan sekadar kerana sikap, tetapi juga kekuatan karya berkualiti yang dihasilkan.

"Satu hari nanti kita semua pasti akan pergi tetapi apa yang kita tinggalkan ialah legasi muzik, semangat dan brotherhood sebuah band yang masih akan terus didendangkan," kata Iman dalam sidang media konsert, pada Khamis.

Istimewanya, Exists Memento Mori akan menyatukan semua anggota kumpulan itu iaitu Ajai, Shah, Ujang, Along dan Musa, bersama dua vokalis mereka, Mamat dan Ezad.

"Kalau kita lihat beberapa tahun kebelakangan ini, Exists seolah-olah disatukan semula dalam erti persahabatan, bukan saja pada muzik.

"Jadi saya harap malam 1 Ogos nanti menjadi tanda ingatan, malah boleh juga kita panggil reunion juga. Bukan sahaja kami tetapi juga penonton disatukan dengan keluarga, rakan-rakan atau sesiapa saja yang membesar bersama-sama," kata pemain keyboard Exists, Ajai.

Konsert dijangka berlangsung selama tiga jam dengan dendangan lebih 25 buah lagu.

Tiket konsert ditawarkan mengikut beberapa kategori harga iaitu RM228 (Untukmu Ibu), RM288 (Mencari Alasan), RM328 (Langkah Seiringan), RM388 (Seperti Dulu), RM428 (Rahsia Pohon Cemara), RM488 (Percayakan Siti) serta pakej eksklusif RM5,000 (Jesnita – tempat duduk sofa berpasangan).

Jualan tiket akan mula dibuka pada 30 April, jam 11 pagi menerusi laman sesawang Ticket2U.

Topic Berkaitan

Must Watch Video