Skip to main content

Malaysia

Malaysia jadi rujukan antarabangsa dalam pengurusan bencana - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 23 April -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat lawatan ke reruai selepas menghadiri Majlis Pelancaran Resilient Asia Exposition and Forum 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC-KL) malam ini.  Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.  Resilient Asia 2026 mendapat penyertaan lebih 100 pempamer daripada agensi kerajaan dan syarikat tempatan serta antarabangsa seperti China, Jerman, Kanada dan Amerika Syarikat.  --fotoBERNAMA (2026
Ahmad Zahid ketika menghadiri majlis pelancaran Resilient Asia 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam ini. - Gambar BERNAMA.

KUALA LUMPUR: Keberanian Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) terus meletakkan Malaysia sebagai antara rujukan utama dunia dalam pengurusan bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keupayaan serta komitmen pasukan itu, disokong pemerkasaan sistem kecemasan negara, memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Tiada sistem, algoritma dan teknologi yang dapat menggantikan keberanian mereka yang menuju ke arah marabahaya sementara yang lain mencari perlindungan.

“Pasukan SMART melambangkan yang terbaik dimiliki oleh Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Resilient Asia 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, Malaysia kini menjadi antara rujukan utama negara luar dalam aspek pengurusan bencana.

Menurutnya, faktor geografi, iklim serta pengalaman operasi menjadikan negara ini lokasi strategik bagi latihan pasukan tindak balas bencana di peringkat global.

“Mana mungkin Turkiye, Myanmar ketika berdepan bencana, malah Pakistan turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia, khususnya SMART Team yang kita banggakan,” katanya 

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam menghadapi bencana di era moden.

Menurutnya, kajian menunjukkan peruntukan sumber dipacu AI mampu mengurangkan masa tindak balas sehingga 30 hingga 40 peratus, di samping meningkatkan kecekapan penggunaan sumber kritikal di lapangan.

“Prinsip saya mudah, dalam tindak balas bencana, setiap saat amat berharga, setiap minit amat kritikal dan apabila masa tindak balas dipendekkan, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan,” katanya lagi.

Namun beliau menegaskan, tiada satu negara pun mampu berdepan cabaran ini secara bersendirian.

Jelasnya, kekuatan sebenar terletak pada kerjasama rentas sempadan, penyelarasan tindakan serta keupayaan bertindak sebagai satu pasukan apabila keadaan memerlukan.

Must Watch Video