Skip to main content

Malaysia

Warga SPRM wajib isytihar penglibatan dalam NGO perkukuh integriti - Azam Baki

KUALA LUMPUR, 7 April -- Ketua Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Azam Baki menyampaikan ucaptama pada Wacana Ilmiah Perdana di Pusat Perdagangan Putra Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini..  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata langkah itu penting bagi memastikan reputasi dan kredibiliti agensi sentiasa terpelihara, khususnya dalam situasi melibatkan kes penyelewengan yang boleh menjejaskan kepercayaan awam. - BERNAMA

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewajibkan warga kerja di agensi itu mengisytiharkan penglibatan dalam badan bukan kerajaan (NGO) sebagai langkah memperkukuh integriti dan mengelakkan sebarang konflik kepentingan dalam organisasi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata langkah itu penting bagi memastikan reputasi dan kredibiliti agensi sentiasa terpelihara, khususnya dalam situasi melibatkan kes penyelewengan yang boleh menjejaskan kepercayaan awam.

“Ini adalah langkah proaktif bagi memastikan imej SPRM sentiasa terpelihara, lebih-lebih lagi dalam situasi terdapat kes penyelewengan melibatkan NGO yang boleh memberi implikasi besar jika tidak ditangani dengan teliti,” katanya dalam kenyataan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan SPRM di sini hari ini.

Azam berkata ketidaktentuan ekonomi dunia akibat konflik geopolitik di Asia Barat memberi tekanan kepada kos operasi jabatan, sekali gus menuntut pelaksanaan langkah penjimatan secara menyeluruh, berhemah dan berdisiplin di semua peringkat organisasi.

Beliau berkata semua bahagian dan pejabat negeri SPRM perlu mengoptimumkan penggunaan sumber termasuk elektrik dan air, mengawal penggunaan bahan api serta mengurus kenderaan jabatan dengan lebih cekap bagi memastikan keberkesanan perbelanjaan awam.

Dalam pada itu, Azam turut menekankan kepentingan untuk setiap warga kerja memahami serta menghayati pelaksanaan strategi serampang tiga mata yang menjadi teras kepada Pelan Strategik SPRM 2026-2030.

Beliau berkata strategi itu merangkumi penguatkuasaan yang berkesan, pencegahan rasuah secara menyeluruh serta pengurusan organisasi yang efektif.

Dalam aspek komunikasi, Azam berkata semua penyediaan maklumat kepada media perlu tepat dan melalui medium rasmi SPRM.

“Sebarang kesilapan dalam pelaporan boleh memberi kesan besar kerana isu berkaitan SPRM sentiasa mendapat perhatian meluas dan bersifat sensitif,” katanya.

Selain itu, Azam turut menekankan penggunaan kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik dalam memperkasakan siasatan dan pendakwaan.

Beliau berkata penggunaan teknologi itu diyakini mampu meningkatkan produktiviti, mempercepatkan penyelesaian kes serta memperkukuh keupayaan organisasi secara keseluruhan.

Azam turut menggesa warga SPRM agar terus meningkatkan tahap profesionalisme, termasuk kemahiran komunikasi bagi memastikan imej organisasi kekal dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM perlu memperkenalkan pendekatan yang lebih progresif dan berimpak tinggi dalam usaha membentuk masyarakat yang menolak rasuah, khususnya dalam mendidik generasi muda melalui program di sekolah dan institusi pengajian tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azam turut memaklumkan sebuah filem bertemakan antirasuah berjudul Konspirasi, terbitan Elepfilm Entertainment Sdn Bhd dengan sokongan SPRM akan mula ditayangkan kepada umum pada 23 Mei ini di seluruh negara.

Beliau berkata filem itu antara inisiatif baharu dalam mendekatkan masyarakat dengan realiti penguatkuasaan jenayah rasuah.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video