KUALA LUMPUR: Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Melaka dan Johor yang dilaksanakan bermula Isnin hingga hari ini berjaya menghasilkan taburan hujan yang signifikan di beberapa kawasan sasaran.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata taburan hujan antara dua hingga 24 milimeter (mm) sehari direkodkan di Melaka manakala di Johor, antara lima hingga 40 mm sehari.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat itu berkata operasi tersebut dilaksanakan di lapan empangan dan dua loji rawatan air di Melaka pada Isnin serta Selasa sebelum diteruskan di Johor semalam dan hari ini.
βBagi siri ketiga di Johor, operasi tertumpu di beberapa kawasan tadahan empangan utama termasuk Empangan Machap, Upper Layang, Lower Layang, Pulai dan Lebam serta kawasan Gugusan Lok Heng dan Bukit Waha di Kota Tinggi.
βOperasi dilaksanakan oleh pesawat TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) yang berlepas dari Pangkalan Subang dan selesai dalam tempoh kurang tiga jam, meliputi beberapa zon sasaran yang telah dikenal pasti,β katanya menerusi catatan di Facebook.
Ahmad Zahid juga berkata keadaan atmosfera yang sesuai sepanjang tempoh operasi membantu proses pembentukan awan hujan dengan lebih efisien.
Beliau berkata kerjasama erat antara Jabatan Meteorologi Malaysia, TUDM dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan operasi berkenaan.
Ahmad Zahid berkata operasi itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kelestarian sumber air negara khususnya dalam mendepani cabaran perubahan cuaca yang tidak menentu.
βInsya-Allah, kita akan terus memantau keadaan semasa dan memperkukuh usaha yang perlu bagi memastikan kesiapsiagaan serta pengurusan sumber air negara sentiasa berada pada tahap terbaik,β katanya.
-- BERNAMA