SPOTIFY hari ini melancarkan lencana baharu dikenali sebagai “Verified by Spotify” pada profil artis di platformnya, sebagai usaha membezakan artis manusia dengan kandungan muzik janaan kecerdasan buatan (AI).
Langkah itu bertujuan meningkatkan kepercayaan dan ketelusan pengguna, susulan pertumbuhan pesat kandungan muzik janaan AI di platform penstriman, lapor Amanz.
Bagi melayakkan artis menerima lencana pengesahan tersebut, Spotify akan menilai aktiviti penstriman pendengar yang konsisten serta meneliti kewujudan lonjakan luar biasa yang lazimnya menjadi petunjuk penggunaan bot.
Artis juga perlu membuktikan kewujudan sebagai individu sebenar, merangkumi kehadiran di platform dan di luar platform seperti penganjuran konsert, penjualan barangan serta penggunaan akaun media sosial rasmi.
Spotify memaklumkan, lencana pengesahan identiti itu akan dipaparkan pada profil artis serta hasil carian pengguna dalam minggu-minggu akan datang, dengan lebih 99 peratus artis yang sering dicari dijangka menerima pengesahan pada peringkat awal pelaksanaan.
Selain itu, Spotify turut memperkenalkan paparan profil artis baharu yang memaparkan pencapaian kerjaya, pelancaran album akan datang serta aktiviti konsert, bagi membantu peminat mengenali artis dengan lebih dekat.
Ciri baharu itu kini masih berada pada peringkat ujian beta dan hanya tersedia menerusi aplikasi mudah alih Spotify.