Skip to main content

Dunia

PBB beri amaran risiko kemelesetan dunia akibat krisis Selat Hormuz

41769740325_AntonioGuterres.jpg
Menurut Guterres (foto), sekatan dan ketidaktentuan keselamatan di laluan air strategik itu telah melumpuhkan pasaran tenaga dunia, selain memberi kesan langsung terhadap sektor pengangkutan, pembuatan, rantaian bekalan serta keselamatan makanan global. -Foto fail

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran bahawa gangguan serius kebebasan navigasi di Selat Hormuz kini sedang menjerat ekonomi global serta memburukkan lagi krisis di Asia Barat yang memasuki fasa kritikal.

Menurut beliau, sekatan dan ketidaktentuan keselamatan di laluan air strategik itu telah melumpuhkan pasaran tenaga dunia, selain memberi kesan langsung terhadap sektor pengangkutan, pembuatan, rantaian bekalan serta keselamatan makanan global.

“Kesan krisis Asia Barat ini menjadi semakin buruk pada setiap jam. Kini adalah masa untuk dialog dan mencari penyelesaian bagi menarik kita keluar daripada ambang kemusnahan,” kata Guterres menerusi hantaran di platform X pada Khamis.

 

 

Berucap pada sidang media di ibu pejabat PBB di sini, beliau menggariskan tiga senario ekonomi global berdasarkan tempoh gangguan Selat Hormuz itu.

Menurutnya, walaupun sekatan ditarik balik serta-merta, pertumbuhan ekonomi global dijangka merosot kepada 3.1 peratus, manakala inflasi meningkat kepada 4.4 peratus tahun ini.

Bagaimanapun, sekiranya krisis berlarutan sehingga akhir tahun, pertumbuhan global berisiko merosot kepada 2 peratus, dengan kadar inflasi melepasi 6 peratus, sekali gus menimbulkan ancaman kemelesetan global.

“Kesan ini bukan sekadar kumulatif, tetapi bersifat eksponensial. Semakin lama arteri penting ini tersumbat, semakin sukar untuk kita memulihkan kerosakan yang berlaku,” tambah beliau.

Guterres turut mendedahkan bahawa puluhan ribu pelaut dan ribuan kapal komersial kini terperangkap di perairan berisiko tinggi, ketika usaha antarabangsa untuk mewujudkan koridor keselamatan maritim masih berdepan cabaran besar.

Selat Hormuz merupakan laluan bagi kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia, dan gangguan yang berterusan sejak Mac lalu berpunca daripada konflik bersenjata serta ketegangan geopolitik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.

Meskipun terdapat gencatan senjata sementara, rundingan dua hala AS–Iran yang berlangsung di Islamabad, Pakistan, baru-baru ini dilaporkan gagal mencapai persetujuan, termasuk isu utama pembukaan semula laluan maritim tersebut secara selamat dan konsisten.

PBB menggesa semua pihak terlibat supaya memulihkan kebebasan navigasi mengikut undang-undang antarabangsa, dengan Guterres menegaskan bahawa kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kesan ekonomi dan kemanusiaan yang semakin sukar dibendung.

 

Must Watch Video