TOKYO: Sony menjelaskan bahawa sistem pengurusan hak digital (DRM) baharu pada konsol PlayStation tidak memerlukan sambungan internet sepanjang masa, sebaliknya hanya melibatkan pengesahan lesen secara dalam talian sekali sahaja dalam tempoh 30 hari pertama selepas pembelian.
Penjelasan itu dibuat susulan kebimbangan pengguna selepas beberapa tangkapan layar tular menunjukkan kononnya lesen permainan digital hanya sah selama 30 hari, lapor Amanz.
Menurut wakil Sony Interactive Entertainment (SIE), sistem tersebut diperkenalkan khusus bagi mengekang aktiviti penipuan pemulangan wang dan eksploitasi lesen, termasuk pada konsol PlayStation 5 (PS5) dan PlayStation 4 yang telah diubah suai atau dieksploitasi.
Dalam tempoh 14 hari pertama selepas pembelian, permainan berada dalam fasa lesen sementara sejajar dengan dasar pemulangan semula.
Dalam tempoh ini, sistem belum memuktamadkan lesen kekal kepada pengguna.
Bermula hari ke-15 hingga hari ke-30, konsol hanya perlu disambungkan ke internet sekali sahaja bagi tujuan pengesahan lesen.
Selepas pengesahan itu selesai, lesen permainan akan ditetapkan sebagai kekal, dan pengguna boleh terus mengakses serta memainkan permainan tersebut tanpa sebarang pemeriksaan lanjut atau keperluan sambungan internet.
Sony menegaskan langkah itu bertujuan menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada mengekalkan akses permainan digital walaupun selepas bayaran dipulangkan, sekali gus menutup kelemahan sistem pelesenan terdahulu.