Skip to main content

Malaysia

GSF 2.0: ‘Ini kerja gila’ - PM Anwar ulas tindakan Israel culik aktivis

CYBERJAYA, 17 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya hari ini.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut Anwar, tindakan pasukan rejim Zionis menyerang flotila kemanusiaan di perairan antarabangsa pada semalam adalah tidak menghormati prinsip kemanusiaan. - Gambar fail/Bernama

RAWANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan pasukan penakluk Israel atau Israel Occupation Forces (IOF) menculik aktivis Global Sumud Flotila 2.0 sebagai satu tindakan gila.

Menurutnya, tindakan pasukan rejim Zionis menyerang flotila kemanusiaan di perairan antarabangsa pada semalam adalah tidak menghormati prinsip kemanusiaan.

“Kebanyakan mereka ditahan di perairan antarabangsa, ini kerja gila dan tidak menghormati langsung prinsip (kemanusiaan),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman di sini, hari ini.

Pada masa sama beliau turut mengesahkan telah berhubung dengan Kementerian Luar Negeri dan pemimpin Negara-Negara Teluk untuk mencari jalan membebaskan para aktivis yang ditahan oleh IOF.

“(Aktivis) yang selamat itu ada yang terpaksa beralih masuk ke perairan Greece dan keselamatan mereka terjamin oleh pihak berkuasa di sana.

“Kini kita mengambil ikhtiar menghubungi sahabat-sahabat kita di Negara-Negara Teluk untuk mencari jalan untuk melepaskan mereka,” katanya.

Anwar turut mengulangi kecaman terhadap Israel dengan menyifatkan tindakan yang dilakukan merupakan kezaliman yang masih berterusan.

Menurutnya, kezaliman itu dapat dilihat melalui tindakan ganas terhadap wanita dan kanak-kanak ketika serangan dilakukan ke atas Iran, Lubnan dan Gaza.

Tegasnya aktivis GSF 2.0 merupakan misi kemanusiaan tanpa keganasan atau non-violence act untuk membantu masyarakat di Gaza yang berdepan tekanan rejim Zionis Israel.

“(Para aktivis GSF 2.0) bukan bawa senjata mereka membawa makanan, minuman dan bantuan perubatan serta kelengkapan pakaian,” katanya lagi.

Kementerian Luar rejim memaklumkan, kira-kira 175 aktivis ditahan daripada lebih 20 bot yang terlibat dalam flotila bantuan menuju ke Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Crete akan dihantar ke Greece.

Semalam, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Sani Araby berkata terdapat 10 rakyat Malaysia daripada 175 aktivis telah diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut milik rejim Zionis.

Must Watch Video