Skip to main content

Teknologi

Keuntungan Samsung melonjak 750%, cip AI jadi pemacu utama

Keuntungan Samsung Meningkat 750% Pada Q1 2026 Kerana AI_AMANZ
Gergasi teknologi Korea Selatan itu merekodkan keuntungan operasi sebanyak 57.2 trilion won (kira-kira RM153 bilion), manakala pendapatan keseluruhan meningkat hampir 70 peratus kepada 133.9 trilion won (kira-kira RM358.5 bilion). -Foto Amanz

SEOUL: Samsung Electronics mencatatkan rekod keuntungan operasi tertinggi dalam sejarah syarikat pada suku pertama 2026, dengan lonjakan luar biasa melebihi 750 peratus, didorong oleh permintaan mendadak cip memori untuk pusat data kecerdasan buatan (AI).

Gergasi teknologi Korea Selatan itu merekodkan keuntungan operasi sebanyak 57.2 trilion won (kira-kira RM153 bilion), manakala pendapatan keseluruhan meningkat hampir 70 peratus kepada 133.9 trilion won (kira-kira RM358.5 bilion), lapor Amanz.

Prestasi memberangsangkan ini didorong hampir sepenuhnya oleh bahagian Device Solutions (semikonduktor) yang menjana 81.7 trilion won hasil jualan cip memori bernilai tinggi, khususnya memori jalur lebar tinggi (HBM) yang digunakan secara meluas dalam infrastruktur pusat data AI global.

Namun, situasi berbeza dialami oleh bahagian peranti mudah alih (Samsung MX) yang kini berdepan tekanan margin keuntungan.

Walaupun Samsung giat mempromosikan ciri AI pada siri Galaxy sejak dua tahun lalu, kenaikan kos memori dan storan akibat permintaan pusat data AI telah meningkatkan kos pengeluaran peranti mudah alih.

Selain itu, ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat turut memberi kesan tidak langsung menerusi kenaikan kos tenaga dan logistik global, sekali gus menambah tekanan terhadap rantaian bekalan dan kos operasi.

Ironinya, lonjakan pesat teknologi AI yang kini menjana keuntungan besar kepada unit semikonduktor Samsung, pada masa sama memberi cabaran besar kepada kelestarian margin perniagaan telefon pintar syarikat tersebut.

Must Watch Video