Skip to main content

Teknologi

Microsoft perluas Xbox Mode ke PC Windows 11, tawar pengalaman mirip konsol

AMANZ
Ciri yang sebelum ini dikenali sebagai Xbox Full Screen Experience itu membolehkan antara muka Windows bertukar kepada paparan mirip konsol Xbox, sekali gus memudahkan navigasi menggunakan alat kawalan permainan tanpa bergantung kepada papan kekunci dan tetikus. -Foto Amanz

REDMOND: Microsoft mula memperluas penawaran Xbox Mode kepada lebih banyak peranti Windows 11 di beberapa pasaran terpilih, merangkumi komputer meja, komputer riba dan peranti permainan mudah alih, lapor Amanz.

Ciri yang sebelum ini dikenali sebagai Xbox Full Screen Experience itu membolehkan antara muka Windows bertukar kepada paparan mirip konsol Xbox, sekali gus memudahkan navigasi menggunakan alat kawalan permainan tanpa bergantung kepada papan kekunci dan tetikus.

Menurut Microsoft, langkah berkenaan bertujuan menyeragamkan pengalaman pengguna merentasi pelbagai platform, termasuk PC dan konsol Xbox, selain menjadikan Windows lebih mesra permainan video.

Sebelum ini, Xbox Mode hanya tersedia pada peranti permainan mudah alih berasaskan Windows seperti ASUS ROG Ally dan Lenovo Legion Go.

Pengembangan ke lebih banyak peranti dilihat sebagai strategi Microsoft untuk mengukuhkan kedudukan Windows sebagai platform permainan utama, ketika persaingan semakin meningkat daripada sistem operasi khusus permainan seperti SteamOS.

Pelancaran ciri berkenaan akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Pengguna Windows 11 disarankan mengemas kini sistem operasi mereka ke versi terkini bagi membolehkan akses kepada Xbox Mode sebaik sahaja ia tersedia di pasaran tempatan.

Must Watch Video