RAWANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati semua pihak supaya bersabar dan memberi ruang bagi meredakan situasi terlebih dahulu dalam mendepani isu pentadbiran di Negeri Sembilan.
Menurut Anwar, sebarang kemelut yang timbul perlu diselesaikan mengikut Perlembagaan atau Undang‑Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, selaras titah Yang di‑Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang memperkenankan Datuk Seri Aminuddin Harun untuk terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.
“Seperti yang semua ketahui, ada isu yang harus dileraikan mengikut Perlembagaan Negeri Sembilan. Sementara itu, tentunya kita ikut titah Yang di‑Pertuan Besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Anwar menyarankan agar semua pihak memberi ruang kepada Aminuddin untuk terus mentadbir negeri, khususnya ketika negara berdepan cabaran krisis ekonomi global.
“Tumpu itu dahulu. Nak rebut apa lagi, tunggulah sekejap. Oleh sebab itu saya sudah menasihati dan menyampaikan perkara ini kepada rakan‑rakan dalam Pakatan Harapan (PH), dan juga kepada pimpinan UMNO.
“Kita boleh berunding, tetapi sekarang jangan gugat usaha memulihkan ekonomi dan memelihara kepentingan rakyat,” katanya lagi.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan bahawa 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan bersetuju untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kestabilan politik di negeri berkenaan terus terpelihara.
Pada 27 April lalu, kesemua ADUN berkenaan dilaporkan menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin sebagai Menteri Besar.