WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump pada Khamis mendakwa peperangan di Iran yang bermula pada 28 Feb lalu telah berakhir susulan gencatan senjata sejak awal April, menurut kenyataan seorang pegawai kanan.
"Bagi tujuan Resolusi Kuasa Perang, pertelingkahan yang bermula pada Sabtu, 28 Feb, telah ditamatkan," kata pegawai itu sambil menambah bahawa tiada sebarang kejadian berbalas tembakan dilaporkan di antara angkatan tentera AS dan Iran sejak 7 April lalu.
Kenyataan itu bagaimanapun dilihat sebagai usaha mengelak keperluan mendapatkan kelulusan Kongres Amerika Syarikat (AS) menjelang tarikh akhir undang-undang pada Jumaat (1 Mei).
Hujah tersebut didakwa dikemukakan bagi mengelak tuntutan Resolusi Kuasa Perang 1973 yang mewajibkan presiden mendapatkan kebenaran rasmi daripada Kongres bagi sebarang tindakan ketenteraan yang melebihi tempoh 60 hari.
Ahli politik Demokrat Senator Tim Kaine menyifatkan hujah pentadbiran Trump itu sebagai dangkal dan tidak mempunyai asas undang-undang yang kukuh serta cubaan jelas untuk membelakangkan perlembagaan, memandangkan sekatan maritim ke atas Selat Hormuz dan pelabuhan Iran masih berterusan.
Di bawah undang-undang AS, Trump mempunyai masa hingga Jumaat — hari ke-60 peperangan — untuk mendapatkan kebenaran Kongres atau menghentikan sepenuhnya operasi ketenteraan.
Namun, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth dalam testimoninya di Senat menegaskan bahawa tempoh 60 hari itu dianggap "terhenti" sepanjang waktu gencatan senjata berkuat kuasa.
Ketegangan di antara kedua-dua pihak bermula pada hujung Februari lalu selepas AS dan Israel melancarkan serangan udara besar-besaran, yang mendorong tindakan balas Tehran dan penutupan Selat Hormuz.
Meskipun rundingan damai sedang diusahakan, masa depan penglibatan ketenteraan AS di rantau itu kekal tidak menentu di tengah-tengah bantahan awam yang semakin meningkat terhadap kos sara hidup dan harga bahan api.