Skip to main content

Teknologi

Oppo satukan OnePlus, Realme di bawah unit perniagaan baharu

OnePlus Mungkin Menutup Operasi Global Seawal April -- amanz
Langkah itu dilihat menamatkan spekulasi sebelum ini mengenai kemungkinan penutupan OnePlus, sebaliknya menunjukkan hala tuju baharu Oppo untuk menyepadukan kepakaran dan sumber OnePlus serta realme di bawah pengurusan berpusat. -Gambar fail/Amanz

SHENZHEN: Jenama telefon pintar OnePlus dan realme dilaporkan telah disatukan di bawah satu unit perniagaan dalaman baharu, dalam langkah penstrukturan semula besar-besaran oleh syarikat induk mereka, Oppo.

Laporan yang mula tular menerusi platform Weibo dan kemudiannya dipetik oleh pelbagai portal teknologi antarabangsa menyatakan bahawa kedua-dua jenama itu kini berada di bawah struktur unit sub-produk dan sub-perniagaan yang sama, melibatkan operasi pasaran domestik China serta pasaran global.

Langkah itu dilihat menamatkan spekulasi sebelum ini mengenai kemungkinan penutupan OnePlus, sebaliknya menunjukkan hala tuju baharu Oppo untuk menyepadukan kepakaran dan sumber OnePlus serta realme di bawah pengurusan berpusat, lapor Amanz.

Menerusi struktur baharu berkenaan, Presiden OnePlus China, Li Jie, dilaporkan mengetuai strategi pembangunan produk bagi kedua-dua jenama dan melapor terus kepada pengasas bersama OnePlus, Pete Lau.

Sementara itu, pengasas realme, Sky Li (Li Bingzhong) dikatakan mengetuai unit sub-perniagaan yang menyatukan bahagian pemasaran dan perkhidmatan selepas jualan untuk OnePlus dan realme secara serentak.

Penstrukturan tersebut turut melibatkan pelantikan bekas eksekutif kanan realme, Wang Wei, sebagai Timbalan Pengurus Besar, bagi mengawasi operasi unit baharu itu, selain penyerapan pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) realme ke dalam struktur pusat Oppo.

Langkah penggabungan itu dilihat sebagai usaha Oppo untuk mengoptimumkan penggunaan sumber, mengurangkan kos operasi serta menangani persaingan sengit dalam pasaran peranti pintar global, khususnya di tengah-tengah tekanan penurunan permintaan dan penstrukturan industri teknologi dunia.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengumuman rasmi secara terbuka dikeluarkan oleh Oppo, OnePlus atau realme kepada media antarabangsa.

Walaupun begitu, penstrukturan itu disahkan berlaku secara dalaman, berdasarkan memo syarikat dan pengesahan pelbagai sumber industri.

Must Watch Video