Skip to main content

Sukan

Cedera lumrah atlet, tetap berjuang ke Kejohanan Badminton Asia 2026 - Ee Wei

KUALA LUMPUR, 3 April -- Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei (kanan) dan Chen Tang Jie pada sesi latihan Skuad Badminton Kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini._BERNAMA
Ee Wei (kanan) dan Chen Tang Jie pada sesi latihan Skuad Badminton Kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara Toh Ee Wei berkata kecederaan yang dialaminya ketika ini tidak membimbangkan dan menjadi lumrah bagi seseorang atlet profesional menjelang Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 yang akan membuka tirai pada Selasa depan. 

“…sebab intensiti latihan dua tiga minggu ini agak tinggi jadi ada sedikit strain di bahagian perut. Tapi saya rasa ia kini 70 peratus telah pulih.

“Biasalah bagi atlet mesti ada kecederaan, jadi bagaimana saya atasinya (pulih) itu yang paling penting,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, beliau yang bergandingan bersama Chen Tang Jie dan akan bertemu pasangan China, Cheng Xing-Zhang Chi pada pusingan pertama kejohanan berkenaan memilih untuk mengambil pendekatan langkah demi langkah dalam menghadapi saingan. 

“Ya kami perlu fokus, yang penting kami akan memberikan persembahan terbaik kami di gelanggang,” katanya. 

Sementara itu, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah dijangka menghadapi cabaran getir sekiranya berdepan tiga kuasa besar badminton Asia iaitu China, Korea Selatan dan Jepun pada BAC 2026. 

Ketua jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak berkata Pearly-Thinaah sedar dengan tekanan yang bakal dihadapi namun tetap fokus untuk memberikan persembahan terbaik.

“Tekanan itu memang sentiasa ada dan mereka sedar mengenainya serta mahu memberikan yang terbaik. Motivasi memang ada, tetapi setiap kejohanan kita akan berdepan cabaran berbeza.

“Saya hanya boleh nilai ketika kejohanan berlangsung kerana sekarang semuanya dalam keadaan baik dan kita sedang membuat persiapan, harapnya mereka dapat memberikan persembahan terbaik,” katanya. 

Mengenai undian pusingan pertama yang menentang pasangan Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying, beliau menekankan pemainnya perlu berwaspada dan tidak memandang rendah cabaran tersebut.

“Undian saya rasa seperti biasa, adil untuk semua dan pusingan pertama bertemu Hong Kong mungkin boleh diatasi, tetapi mereka perlu berhati-hati. Tiada apa yang berbeza dan mereka hanya perlu memberi fokus kepada permainan sendiri,” katanya. 

Sekiranya berjaya meneruskan cabaran pasangan beregu utama negara itu dijangka bertemu dengan pasangan elit dunia seperti Liu Sheng Shu-Tan Ning dan Zhang Shu Xian-Jia Yi Fan (China), Baek Ha Na-Lee So Hee (Korea Selatan) serta Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto (Jepun).

— BERNAMA 

Must Watch Video