KUALA LUMPUR: Kanada akan melonggarkan keperluan visa bagi pelancong yang layak dari Malaysia bermula Selasa, dalam usaha memperkukuh hubungan perdagangan, perniagaan dan strategik dengan rantau Indo-Pasifik.
Dasar baharu itu, yang turut terpakai kepada warganegara Indonesia yang layak, membolehkan pelancong memohon kebenaran perjalanan elektronik (eTA) berbanding visa pelawat tradisional apabila melakukan perjalanan atau transit ke Kanada melalui udara.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Menteri Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada Lena Metlege Diab berkata perubahan itu akan berkuat kuasa pada 26 Mei pukul 5.30 pagi waktu Timur.
Di bawah syarat baharu itu, rakyat Malaysia dan Indonesia yang pernah memegang visa pemastautin sementara Kanada (TRV) dalam tempoh 10 tahun lepas, atau yang kini memiliki visa bukan imigran Amerika Syarikat (AS) yang sah, mungkin layak memohon eTA menggantikan visa bagi perjalanan udara atau transit melalui Kanada.
Mereka yang masih memiliki TRV yang sah boleh terus menggunakannya untuk ke Kanada, manakala pelancong boleh menyemak portal rasmi imigresen Kanada bagi mendapatkan maklumat kelayakan dan prosedur permohonan.
Diab berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha lebih luas Kanada untuk memperkukuh penglibatan di rantau Indo-Pasifik menerusi sokongan terhadap perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.
“Kanada sedang berusaha menarik bakat terbaik dunia, memperkukuh perkongsian global dan mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan serta pekerja Kanada.
“Perubahan syarat visa bagi pelancong layak dari Indonesia dan Malaysia adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan untuk memperdalam penglibatan Kanada di rantau Indo-Pasifik, menyokong perdagangan dan pelaburan, serta memudahkan orang ramai berhubung, menjalankan perniagaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang Kanada,” katanya dalam kenyataan itu.
Aplikasi eTA digunakan oleh pihak berkuasa Kanada untuk menjalankan saringan pra-perjalanan terhadap penumpang udara.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Ottawa mengalu-alukan langkah itu dan menyifatkannya sebagai perkembangan positif yang mencerminkan hubungan dua hala serta ekonomi yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.
Dalam hantaran di Facebook pada Selasa, Suruhanjaya Tinggi itu berkata rakyat Malaysia yang tidak memenuhi kriteria saringan, atau yang merancang memasuki Kanada melalui jalan darat, bas, kereta api atau kapal laut termasuk kapal persiaran, masih perlu memohon TRV standard.
Maklumat lanjut mengenai kelayakan dan permohonan boleh didapati menerusi portal rasmi imigresen Kerajaan Kanada di https://www.canada.ca/en/immigration-refugees-citizenship/services/visit-canada/eta.html
Menurut Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada, Malaysia merupakan antara rakan dagang dua hala terbesar Kanada di Asia Tenggara.
Sejak 2020, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 60 peratus, daripada US$3.8 bilion pada 2020 kepada US$6.1 bilion pada 2025.
Pada 2025, Kanada menerima kira-kira 11,500 pelawat dari Malaysia.
-- BERNAMA