Skip to main content

Gaya Hidup

Balai Seni Negara bawa pengalaman seni visual ke PBAKL 2026

BSN, PBAKL. FB Balai Seni Negara
Pengunjung antara lain berpeluang mendapatkan pelbagai bahan terbitan Balai Seni Negara seperti buku seni visual dan produk cenderamata eksklusif. - Facebook Balai Seni Negara

KUALA LUMPUR: Balai Seni Negara kembali memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, dengan menawarkan pelbagai aktiviti interaktif dan perkongsian ilmu sebagai usaha memperkukuh keberadaan institusi seni visual negara pada platform antarabangsa.

Unit Komunikasi Korporat Balai Seni Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyertaan dari 29 Mei hingga 7 Jun itu, akan berlangsung di reruai nombor 403, S4, Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut kenyataan itu pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai bahan terbitan Balai Seni Negara seperti buku seni visual, produk cenderamata eksklusif merangkumi botol minuman, bucket hat, lencana butang, keychain lanyard, metal keychain, cawan, poskad, beg jinjing dan sampul raya.

“Pengunjung juga berpeluang menyertai sesi Temu dan Ramah bersama pelukis Fauzan Omar dan Amron Omar pada 6 Jun, sambil mendapatkan tandatangan mereka sempena promosi keluaran Setem Khas Koleksi Khazanah Seni Visual Negara Siri 3,” menurut kenyataan itu.

Pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan antaranya Lakaran Doodle dan Karikatur, Knitted Wire Art, Pottery Wheel Experience, Glowing Bookmark, Painting with Acrylic Markers, demonstrasi Kaligrafi: Dari Jari ke Hati serta Pressed Flower Keychain and Frame yang dikendalikan artis dan penggiat seni tempatan.

Selain itu, slot perkongsian ilmu bertajuk Lepak Kartun: Dari Sosiobudaya ke Budaya Kecerdasan Buatan (AI), akan diadakan di Pentas Utama PBAKL pada 7 Jun, membariskan panel jemputan Dr Muliyadi Mahamood, Zulkiflee Anwar (Zunar) dan Dr Noorhazalen Saad (Leen Mafea).

“Sejak penyertaan pertama pada tahun 2008, Balai Seni Negara terus komited memanfaatkan platform PBAKL sebagai medium memperluas capaian masyarakat terhadap seni visual dan memperkukuh budaya ilmu serta memperkenalkan penerbitan seni tempatan kepada khalayak yang lebih luas,” menurut kenyataan itu. 

Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan reruai tersebut, selain berpeluang mendapatkan buku seni dan cenderamata eksklusif dengan harga istimewa.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari media sosial dan laman sesawang rasmi Balai Seni Negara di www.artgallery.gov.my.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement