Skip to main content

Malaysia

Kertas siasatan kes tembak Durian Tunggal dirujuk kali keempat kepada AGC - Polis

TB_SIDANG MEDIA PDRM M KUMAR_01_Ikqwan Lee
Datuk M Kumar (tengah) berkata antara tindakan susulan dilakukan termasuk merakam percakapan beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan. -Foto Ikqwan Lee

KAJANG: Kertas siasatan kes tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada November tahun lalu dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas polis melengkapkan beberapa arahan tambahan yang diminta pihak pendakwaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, antara tindakan susulan dilakukan termasuk merakam percakapan beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan.

“(Rakaman percakapan itu) lebih kepada untuk memperjelaskan beberapa fakta tertentu dalam siasatan itu.

“Semua arahan yang diberikan Jabatan Peguam Negara sudah dipatuhi dan kertas siasatan diedarkan semula semalam (Isnin) untuk arahan serta nasihat lanjut,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, pada Selasa.

Kumar menambah, kes berkenaan sebelum ini sudah dirujuk sebanyak empat kali kepada AGC dengan polis melengkapkan beberapa arahan tambahan yang diberikan pihak pendakwaan.

Menurutnya, setakat ini seramai 63 saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi, pada 24 November lalu, tiga lelaki berusia antara 24 dan 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis.

Anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an itu dilaporkan cedera parah pada lengan kiri dalam kejadian berkenaan.

Kes itu kemudian diklasifikasikan semula untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan membunuh, selepas Jabatan Peguam Negara  meneliti laporan dan taklimat daripada polis.

 

Must Watch Video

Advertisement