KUALA LUMPUR: Seorang pemandu peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, minggu lepas.
Tertuduh Muhamad Rafiqzam Hafeq Mohd Rosly, 23, didakwa menculik kanak-kanak itu daripada bapanya Rosli Ab Ghani, 49, di Jalan Ilmu berhampiran sebuah kolej di sini hingga ke sebuah stesen minyak di Bukit Damansara antara 2.30 petang hingga 4.49 petang pada 19 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisyia Mohd Razib, manakala tertuduh diwakili peguam P. Suthes.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu atau mendekati mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan kes.
-- BERNAMA