ISTANBUL: Persekutuan Bola Sepak Senegal (FSF) mengesahkan pada Rabu, ia akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas gelaran Juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 miliknya ditarik balik, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, persekutuan itu menyifatkan keputusan terbaharu itu sebagai "tidak adil, tidak pernah berlaku sebelum ini dan tidak boleh diterima," selain mendakwa tindakan sedemikian mencemarkan reputasi keseluruhan bola sepak Afrika.
"Bagi mempertahankan hak serta kepentingan bola sepak Senegal, persekutuan akan memfailkan rayuan kepada CAS di Lausanne secepat mungkin," katanya.
Perlawanan akhir yang berlangsung pada 18 Jan di Rabat, Maghribi, menyaksikan Senegal menang 1-0 dalam masa tambahan selepas berlaku kekecohan pada penghujung masa perlawanan sebenar.
Pemain Senegal bertindak meninggalkan padang sebagai tanda protes selepas Maghribi dianugerahkan sepakan penalti ketika perlawanan masih terikat tanpa jaringan.
Selepas tertangguh lebih 15 minit, perlawanan akhirnya disambung semula dan Senegal berjaya menjaringkan gol kemenangan pada waktu tambahan.
Persekutuan Bola Sepak Maghribi kemudiannya memfailkan rayuan mencabar keputusan itu dengan berhujah bahawa tindakan pemain Senegal keluar padang merupakan satu pelanggaran peraturan kejohanan.
Lembaga Rayuan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) menerima rayuan itu dan membatalkan keputusan tatatertib terdahulu, sekali gus mengisytiharkan Senegal kalah secara lucut hak dan memberikan kemenangan 3-0 kepada Maghribi.
-- BERNAMA-ANADOLU