Skip to main content

Malaysia

Ketua Geng Rames diburu Interpol ditahan dalam penerbangan

Kuala Lumpur , 18 Mac 2026. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),  Datuk M. Kumar S. Muthuvelu pada sidang media berkenaan kejayaan OP Lejang Mewah Klon : Jenayah Curi dan Klon Identiti Kenderaan di 6 Buah Negeri di Pulapol.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
M Kumar berkata, suspek diberkas ketika berada dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand menuju ke Hyderabad, India sebelum dibawa pulang ke Malaysia hasil kerjasama pihak berkuasa kedua-dua negara itu. - Gambar fail/Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai ketua Geng Rames yang terlibat dalam kumpulan jenayah terancang telah ditahan menerusi Op Tiga, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, M Kumar berkata, suspek diberkas ketika berada dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand menuju ke Hyderabad, India sebelum dibawa pulang ke Malaysia hasil kerjasama pihak berkuasa kedua-dua negara itu. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M. Kumar berkata, suspek ditahan kerana dipercayai menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan. 

Katanya, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara dari lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan. 

"Suspek yang direman sehingga Jumaat ini turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh," katanya dalam kenyataan, di sini pada Isnin. 

Menurut Kumar, pada 25 Mac lalu Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek berhubung dua kes bunuh berasingan di Padang Serai dan Bedong, Kedah sekitar Februari dan Ogos 2024. 

Selain itu, kata beliau, Polis Antarabangsa (Interpol) turut mengeluarkan Notis Merah terhadap suspek pada 24 April lalu.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India dan Thailand atas kerjasama yang diberikan dalam usaha menahan suspek terbabit. 

Katanya, PDRM akan terus komited menegakkan kedaulatan undang-undang demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

 

Must Watch Video

Advertisement