PUTRAJAYA: Pelaksanaan biodiesel B15 yang akan bermula di seluruh semenanjung pada 1 Jun ini dijangka memperkukuh keselamatan tenaga negara tanpa menjejaskan jumlah eksport minyak sawit negara.
Pada masa yang sama, langkah komprehensif itu turut membantu menyokong industri sawit tempatan dan mempercepat agenda hijau negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pelaksanaan peningkatan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 itu dibuat secara terancang selepas mengambil kira kesiapsiagaan industri, bekalan dan infrastruktur sedia ada.
Beliau berkata kerajaan telah menjalankan analisis terperinci berhubung pelaksanaan itu termasuk dari segi kapasiti bekalan minyak sawit negara untuk memastikan eksport komoditi berkenaan tidak terjejas.
“Kita menghasilkan kira-kira 20 juta tan metrik minyak sawit setahun dan mengeksport sekitar 16 juta tan metrik, ini bermakna terdapat lebihan kira-kira empat juta tan metrik untuk kegunaan domestik.
“Daripada jumlah itu, penggunaan bagi pelaksanaan B15 hanya melibatkan sekitar 0.8 juta tan metrik, jadi ia tidak akan mengganggu jumlah eksport negara,” katanya selepas sesi Taklimat Media Pelaksanaan Biodiesel B15 di sini hari ini.
Noraini berkata pelaksanaan B15 dipilih sebagai kadar adunan terbaik ketika ini selepas sesi libat urus bersama pemain industri yang berpendapat bahawa kadar tersebut boleh dilaksanakan tanpa memerlukan naik taraf besar ke atas fasiliti sedia ada.
“Kita lihat B15 adalah kadar yang sesuai dan boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat tanpa memerlukan perubahan besar kepada kemudahan sedia ada,” tambahnya.
Noraini berkata pelaksanaan B15 juga dijangka membantu meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit tempatan selain mengurangkan kebergantungan negara kepada diesel fosil import.
Pada 14 April lepas, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 bagi mengekalkan bekalan diesel negara susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.
Langkah segera itu bagi mengelak kebergantungan kepada bahan api fosil import dan pasaran luar, serta melaksanakan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan kepada tenaga boleh baharu yang dipercepatkan
Menyentuh mengenai peluasan penggunaan biodiesel B20, Noraini berkata beberapa kawasan termasuk Sarawak, Labuan, Langkawi dan Bintulu telah melaksanakan penggunaan B20.
Beliau berkata kerajaan turut meluluskan peruntukan RM42 juta bagi fasa pertama naik taraf kemudahan ke arah pelaksanaan B20 di Sarawak.
“Bagi fasa kedua, kementerian sedang memohon peruntukan tambahan sekitar RM56 juta untuk menaik taraf terminal pengedaran khususnya di kawasan Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT),” kata beliau.
Program Biodiesel Negara yang diperkenalkan sejak 2011 menerusi pelaksanaan B5 bagi sektor pengangkutan terus berkembang dengan pengenalan B7 pada 2014, sebelum mandat B10 dan B20 diperluas secara berperingkat antara 2019 hingga 2020.
Di bawah pelaksanaan itu, biodiesel B10 digunakan untuk sektor pengangkutan dengan kandungan 10 peratus 'Palm Methyl Ester' (PME) dan 90 peratus diesel petroleum, manakala biodiesel B20 pula mengandungi 20 peratus PME dan 80 peratus diesel petroleum.
Bagi sektor industri pula, penggunaan biodiesel B7 melibatkan campuran tujuh peratus PME dan 93 peratus diesel petroleum.
Penggunaan biodiesel yang bertambah turut dijangka meningkatkan penggunaan minyak sawit domestik, dengan anggaran penggunaan sebanyak 0.801 juta tan metrik setahun untuk pelaksanaan B15 berbanding 0.534 juta tan metrik setahun di bawah B10.
Bagi pelaksanaan B20 pula, penggunaan minyak sawit dianggarkan mencecah 1.068 juta tan metrik setahun, sekali gus membantu menstabilkan permintaan domestik minyak sawit serta menyokong pendapatan pekebun kecil dan pemain industri sawit negara.
Kerajaan kini menyasarkan pelaksanaan mandat B30 bagi sektor pengangkutan darat menjelang 2030, selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara, Dasar Tenaga Negara serta aspirasi peralihan tenaga dan pembangunan rendah karbon negara.
-- BERNAMA