TOKYO: Kerajaan Jepun merancang belanjawan tambahan bagi tahun kewangan 2026 melebihi 3 trilion yen (kira-kira RM74.6 bilion) bagi menangani impak kenaikan harga tenaga susulan krisis berpanjangan di Asia Barat.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, berkata langkah itu bertujuan mengurangkan tekanan kos sara hidup isi rumah akibat kenaikan harga minyak mentah global berikutan gangguan navigasi di Selat Hormuz, lapor Kyodo News.
Di bawah pelan itu, kerajaan akan menyediakan subsidi utiliti elektrik dan gas bagi tempoh musim panas dari Julai hingga September, dengan peruntukan sekitar 500 bilion yen (kira-kira 12.4 bilion) yang akan dibiayai daripada rizab sedia ada.
Bagaimanapun, langkah tersebut memerlukan suntikan tambahan untuk menambah semula rizab luar jangka kerajaan yang berkurangan akibat pembiayaan subsidi tenaga berterusan.
Takaichi berkata belanjawan tambahan itu akan dibiayai melalui penerbitan bon baharu bagi menampung defisit.
Menurut beliau, langkah itu tidak dijangka menjejaskan pasaran bon domestik kerana akan diimbangi oleh peningkatan hasil cukai.
Rang undang-undang berkaitan pelan itu dijangka dibentangkan di Parlimen Jepun (Diet) pada awal Jun.
Perkembangan itu berlaku ketika pasaran kewangan terus memantau kedudukan fiskal Jepun, yang merekodkan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara tertinggi dalam kalangan negara maju G7.