Skip to main content

Bisnes

Keuntungan bersih MISC naik kepada RM741.4 juta pada suku pertama

41676448792_MISC.jpg
MISC memaklumkan bahawa pendapatannya meningkat kepada RM2.89 bilion, naik sehingga RM75.3 juta, atau 2.7 peratus, daripada RM2.81 bilion setahun lepas. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: MISC Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM741.4 juta untuk suku pertama berakhir pada 31 Mac, 2026 berbanding RM705.7 juta pada suku sama tahun lepas.

MISC memaklumkan bahawa pendapatannya meningkat kepada RM2.89 bilion, naik sehingga RM75.3 juta, atau 2.7 peratus, daripada RM2.81 bilion setahun lepas.

Prestasi lebih baik itu disebabkan peningkatan hasil daripada segmen perkapalan petroleum dan produk, kebanyakannya didorong oleh kadar tambang lebih tinggi dan jumlah hari perolehan yang meningkat.

Selain itu, segmen kejuruteraan marin dan berat turut menyumbang kepada peningkatan ini susulan projek sedia ada yang telah memasuki fasa pembinaan lebih tinggi, walaupun sebahagian daripadanya diimbangi oleh hasil lebih rendah daripada projek pasca pelayaran, menurut MISC.

“Bagaimanapun, peningkatan pendapatan kumpulan itu diimbangi oleh pendapatan lebih rendah dalam segmen aset dan penyelesaian gas, terutamanya disebabkan oleh ketiadaan pendapatan pembinaan yang diiktiraf semasa tempoh di bawah kajian, serta hari pendapatan lebih rendah akibat pelupusan kapal, peletakan kapal dan kadar carter lebih rendah,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu,Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya, Zahid Osman berkata kumpulan itu mencatatkan suku pertama berdaya tahan pada 2026, mencapai keuntungan lebih tinggi dan aliran tunai operasi yang mantap meskipun terdapat turun naik pasaran yang berterusan merentasi segmen.

“Prestasi ini mencerminkan kekuatan portfolio kepelbagaian perniagaan MISC, pengurusan kos berdisiplin dan keupayaannya untuk meraih nilai merentasi keadaan pasaran yang sentiasa berubah.

“Kami terus melaksanakan keutamaan strategik kami dengan berdisiplin menerusi pemodenan armada, pengoptimuman portfolio, mendapatkan kontrak carter jangka panjang dan meneroka peluang merentasi penyelesaian maritim maritim rendah karbon dan konvensional,” katanya.

Walaupun perkembangan geopolitik dan ketidakpastian makroekonomi terus membentuk landskap operasi, Zahid berkata komitmen MISC terhadap pertumbuhan mampan kekal kukuh kerana ia mengimbangi kecemerlangan operasi dengan penciptaan nilai jangka panjang.

“Berpandukan strategi memacu kemajuan, kami akan terus mengemudi landskap yang berubah dengan tangkas sambil mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai rakan kongsi penyelesaian tenaga dan maritim global yang dipercayai,” katanya.

Melihat ke depan, MISC memaklumkan bahawa kadar pembawa gas asli cecair (LNG) dijangka kekal tinggi berbanding tempoh sebelum tercetus konflik di Asia Barat, disokong oleh permintaan LNG jangka panjang yang kukuh.

Sementara itu, kadar bagi kapal pengangkut gas asli cecair (LNGC) jenis stim dijangka kekal rendah memandangkan pihak penyewa terus memilih kapal yang lebih cekap dan moden.

Menurut MISC, segmen itu terus memberi tumpuan kepada memajukan strategi peremajaan armadanya melalui penyampaian LNGC moden dan cekap serta mendapatkan carter jangka panjang baharu.

“Pada masa yang sama, segmen ini terus melaksanakan langkah-langkah strategik bagi kapal-kapal yang kini tidak disewa (carter), termasuk pemberhentian sementara operasi kapal bagi mengoptimumkan kos, monetisasi aset untuk mengagihkan semula modal, serta meneroka peluang penempatan semula,” menurut kenyaataan itu.

Syarikat itu juga telah meluluskan dividen pertama dikecualikan cukai sebanyak lapan sen sesaham untuk tahun kewangan 2026, berjumlah RM357.1 juta.

Dividen dicadangkan akan dibayar pada 25 Jun, 2026 kepada pemegang saham yang berdaftar pada penutupan waktu perniagaan pada 12 Jun, 2026.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement