KUALA LUMPUR: Kemunculan Kuching City FC antara perkembangan positif pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025-2026, kata penganalisis sukan tempatan Datuk Pekan Ramli.
Pekan berkata pencapaian Kuching City menduduki tempat kedua Liga Super, layak ke final Piala Malaysia serta menempah tiket ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) musim depan sesuatu di luar jangkaan ramai.
“Kita tahu pasukan Kuching City ini bukan pasukan yang dibentuk dengan perbelanjaan besar, tetapi mereka mampu mengetepikan pasukan pilihan seperti Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur City untuk berada di belakang JDT (Johor Darul Ta’zim) dalam Liga Super.
“Mereka juga antara pasukan yang kebal (dengan rekod bolos). Bagi saya ini satu pencapaian yang sangat positif untuk keseluruhan liga musim ini,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas keseluruhan penganjuran Liga-M 2025-2026.
Bagaimanapun, Pekan berkata Liga-M masih dibelenggu beberapa isu utama termasuk tunggakan gaji, jurang kekuatan pasukan, mutu pengadilan serta kehadiran penonton yang masih rendah.
Beliau berkata walaupun isu tunggakan gaji dilihat semakin berkurangan, masih terdapat beberapa pasukan Liga Super yang belum menyelesaikan masalah itu sepenuhnya.
Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan isu tunggakan gaji antara faktor yang menyumbang kepada jurang kekuatan ketara dalam Liga Super sehingga menyaksikan beberapa keputusan perlawanan berakhir dengan jaringan besar.
“Kalau ada keputusan sampai 10-0, 14-1 dan sebagainya, ini bukan standard Liga Super yang sepatutnya. Jurang antara pasukan masih terlalu besar,” katanya.
Menyentuh aspek pengadilan, Pekan berkata penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) walaupun semakin menunjukkan peningkatan, masih memerlukan penambahbaikan.
Beliau berkata penggunaan pengadil luar pada final Piala Malaysia 2025-2026 juga secara tidak langsung memberi persepsi pengadil tempatan masih belum mencapai tahap keyakinan tertinggi untuk mengendalikan perlawanan besar.
“Pada satu sudut ia bagus untuk memastikan keyakinan terhadap perlawanan akhir, tetapi dalam masa sama memberi persepsi pengadil tempatan belum berada pada tahap terbaik,” katanya.
Selain itu, Pekan turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu logistik serta perubahan jadual perlawanan pada saat akhir yang menurutnya memberi kesan kepada penyokong dan pasukan.
Ditanya harapan untuk musim depan, beliau mahu penguatkuasaan Peraturan Kewangan Adil (FFP) diperkasakan dengan lebih tegas selain menyeru kelab Liga Super tampil dengan pengurusan lebih profesional.
“Kita harap musim depan penguatkuasaan FFP benar-benar diperkasakan dan pasukan yang tidak layak perlu dikenakan tindakan sewajarnya.
“Kelab juga perlu dipimpin individu yang benar-benar profesional dan tahu bagaimana mengurus pasukan serta menjana sumber kewangan,” katanya.
JDT terus mengekalkan dominasi musim ini selepas menjuarai tiga kejuaraan utama iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia sekali gus mencipta sejarah memenangi tiga trofi itu buat kali keempat berturut-turut.
-- BERNAMA