KUALA LUMPUR: Pengundi Pandan akan memilih calon PKR dari parti kerajaan berbanding Datuk Seri Rafizi Ramli jika ‘figura yang tepat’ dicalonkan untuk bertanding di kawasan tersebut, kata Misrinah Misban.
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, pertimbangan pengundi sewaktu mengundi lazimnya lebih rasional kerana mereka melihat politik seperti mereka melihat ekonomi, iaitu dengan neraca untung rugi, kestabilan dan jaminan masa depan.
Jelasnya, Rafizi sememangnya pandai membina gelombang, menghidupkan semangat reformasi dan mencipta persepsi bahawa beliau sentiasa membawa idea baharu.
“Namun penilaian akhir pengundi bukan kepada siapa yang paling lantang bercakap mengenai perubahan tetapi kepada siapa yang berjaya menterjemahkan perubahan itu ketika memegang kuasa.
“Jika PKR mampu menampilkan seorang “figura yang tepat” di Pandan yang lebih tenang, meyakinkan, boleh bekerja dengan kerajaan dan mempunyai imej stabil serta mesra komuniti bandar, maka kemungkinan besar sebahagian besar pengundi Cina akan melihat pilihan itu sebagai pilihan yang lebih selamat untuk masa depan ekonomi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Naib Presiden PKR, Datuk Amirudin Shari mengumumkan Parlimen Pandan menjadi kawasan angkat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga presiden parti.
Pandan memliki populasi pengundi yang melibatkkan Melayu sebanyak 46 peratus, Cina 46 peratus dan India tujuh peratus.
Misrinah berkata, walaupun Rafizi berbangga bahawa Parti Bersama Malaysia (Bersama) mempunyai sekitar 15 peratus ahli berbangsa Cina, angka keahlian tidak semestinya diterjemahkan kepada keyakinan massa.
Tegasya, pengundi Cina bukan mudah terikat kepada sentimental politik selain mereka boleh mendengar dengan simpati, tetapi akhirnya tetap akan mengundi berdasarkan siapa yang mampu menjaga kestabilan ekonomi dan ada akses kepada pembangunan.
“Persoalan yang akan diambil kira oleh pengundi Cina, termasuk di Pandan, ialah apakah ketika Rafizi berada dalam kerajaan dan memegang jawatan penting sebagai Menteri Ekonomi ada perubahan besar yang benar-benar dirasai rakyat?
“Apakah ada dasar yang begitu signifikan sehingga pengundi merasakan kehidupan mereka berubah? Dan lebih penting apakah ada pencapaian ekonomi yang menyentuh denyut nadi pengundi Cina khasnya dalam isu kos sara hidup, peluang perniagaan dan kestabilan ekonomi?” soalnya.
Hakikatnya, kata beliau ramai pengundi Cina melihat politik secara praktikal. Mereka mungkin menghargai keberanian bersuara, tetapi pada masa sama mereka juga akan bertanya apa yang mereka akan dapat daripada semua itu.
Katanya, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, wujudnya perang tarif, ketidakstabilan geopolitik dan persaingan serantau yang semakin sengit, pengundi seperti ini cenderung untuk memilih kesinambungan pentadbiran dan akses kepada kuasa kerajaan berbanding simbol protes semata-mata.
“Dalam erti kata lain, nostalgia reformasi mungkin masih mempunyai gema, tetapi gema itu semakin perlahan apabila bertembung dengan realiti kehidupan harian rakyat.
“Politik hari ini bukan lagi sekadar berkisar mengenai keberanian seseorang mengkritik kerajaan tetapi lebih kepada kemampuan beliau untuk menjaga kepentingan dan masa depan pengundi.
“Dan inilah masalah terbesar Rafizi di Pandan kerana beliau mungkin akan mampu menguasai pentas ceramah, tetapi realitinya majoriti pengundi senyap, khasnya bangsa Cina, sudah mula bersikap pesimis dan sinikal dengan bertanya jika ketika beliau berkuasa dalam kerajaan pun tiada perubahan besar yang mampu beliau bawa kepada pengundi Pandan, maka apa mungkin beliau akan mampu lakukan perkara lebih besar sebagai pembangkang,” katanya.