KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang mengenai konflik Asia Barat ketika berhubung dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif hari ini.
Dalam perbincangan tersebut, Anwar menyentuh mengenai perkembangan positif Rundingan Islamabad antara Iran dan Amerika Syarikat, dan berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz.
“Saya menyatakan penghargaan Malaysia akan peranan Pakistan dalam usaha pengantaraan berterusan serta kesediaannya menjadi tuan rumah bagi rundingan seterusnya,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook rasminya hari ini.
Anwar menegaskan pendirian Malaysia bahawa segala pertikaian perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan pendekatan damai demi menjamin kestabilan rantau Asia Barat.
Kedua-dua pihak turut menyentuh mengenai kepentingan masyarakat antarabangsa bersuara dan mengambil langkah tegas untuk menghentikan keganasan dan kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza dan Lubnan.
Pada masa sama, beliau turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada Shehbaz serta rakyat Pakistan.
“Hubungan Malaysia dan Pakistan akan terus diperkukuh berlandaskan semangat persahabatan, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap keamanan serta kemakmuran sejagat,” katanya lagi.