Skip to main content

Malaysia

Seorang lelaki warga emas maut akibat tersepit di bawah kereta

MAUT TERSEPIT
Komander Operasi melaporkan terdapat seorang lelaki dewasa tersepit berada di bawah sebuah kereta Proton Saga, ujar JBPM. - Gambar JBPM Selangor.

HULU SELANGOR: Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun maut akibat tersepit di bawah sebuah kereta jenis Proton Saga dalam kejadian di Taman Seri Batang Kali di sini pada petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.20 petang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 5.43 petang selepas tiba di lokasi sejauh 22 kilometer dari balai bomba.

“Komander Operasi melaporkan terdapat seorang lelaki dewasa tersepit.. berada di bawah sebuah kereta Proton Saga” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.

Tambahnya, kerja-kerja mengeluarkan mangsa berjaya dilakukan oleh anggota bomba sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Operasi tersebut melibatkan lima anggota bomba bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fauzi Wahab sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.05 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor ACP Ibrahim Husin berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut pada jam 5.30 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 5.18 petang semasa mangsa meletakkan kenderaannya di dalam garaj rumah sebelum keluar untuk menutup pagar.

“Bagaimanapun kenderaan tersebut tiba-tiba mengundur sendiri dan melanggar mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dan tersepit di bawah kenderaan terbabit,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan Rabu malam.

Tambahnya, sisasatan awal mendapati mangsa disyaki tidak menarik brek tangan kenderaan itu selain keadaan garaj rumah yang landai dan menurun ke arah pintu pagar.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ibrahim turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Anati Zulkifli di talian 03-6064 1222.

Must Watch Video

Advertisement