KUALA LUMPUR: Buriram United berjaya mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Selangor FC 2-1 dalam aksi perlawanan akhir kedua ASEAN Club Championship Shopee Cup 2025/2026.
Skuad Gergasi Merah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain tengah, Syahir Bashah pada minit ke-18 sekali gus meletakkan Selangor di hadapan pada awal perlawanan yang berlangsung di Chang Arena, Thailand, hari ini.
Bagaimanapun, Buriram United bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang utama, Suphanat Mueanta pada minit ke-27 sebelum Theerathon Bunmathan meledak gol kemenangan pada minit ke-54.
Kemenangan itu menyaksikan Buriram United mempertahankan gelaran ASEAN Club Championship dengan agregat 3-1.
Sementara itu, penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz turut menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik kejohanan.
Pada masa sama, terdapat aksi mencuri perhatian apabila pemain Buriram United memberikan ‘guard of honour’ kepada pemain Selangor FC semasa upacara penyampaian hadiah.
Pada 21 Mei, Buriram United turut mencatat kemenangan 1-0 pada aksi perlawanan akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Dalam perlawanan tersebut, Suphanat muncul wira pasukan apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-24 sekali gus memberikan kelebihan awal buat wakil Thailand itu menjelang aksi timbal balik di laman sendiri.
Kejayaan berkenaan mengukuhkan status Buriram United sebagai antara kelab paling dominan di Asia Tenggara selepas berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.