Skip to main content

Politik

Kosongkan kerusi: "Kasihan kepada rakyat..." - Azalina

Kuala Lumpur , 18 Mei 2026. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said  pada sidang media berikutan  Majlis Pelancaran Khidmat Pro Bono Komersial Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Auditorium AIAC Bangunan Sulaiman. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Azalina ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono 2026 oleh Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia , hari ini - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Mana-mana wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen perlu mengambil kira kepentingan pengundi yang memilih mereka sebelum membuat keputusan mengosongkan kerusi yang disandang selagi belum tamat tempoh penggal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan, wakil rakyat yang masih memegang jawatan sewajarnya menyelesaikan tanggungjawab kepada rakyat sepanjang tempoh perkhidmatan lima tahun sebelum menyertai parti lain atau bertanding semula.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat-kuasa hari ini.

"Saya tak boleh respons kerana itu hak demokrasi masing-masing, tetapi kasihan kepada rakyat dan pengundi di Pandan sebab pada pandangan saya mereka mengharapkan wakil rakyat itu ada.

"Sekurang-kurangnya rakyat boleh mengetuk pintu wakil rakyat jika ada masalah atau memerlukan bantuan, tetapi mungkin beliau ada sebab-sebab tertentu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono 2026 oleh Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, situasi sama diharap difahami oleh wakil rakyat dalam partinya iaitu Barisan Nasional (BN), jika mempunyai hasrat untuk mengosongkan kerusi mereka.

Ditanya mengenai keperluan Pilihan Raya Kecil (PRK) susulan tindakan Rafizi dan Nik Nazmi, Azalina berkata berdasarkan peruntukan sedia ada, kekosongan kerusi Parlimen dalam tempoh kurang dua tahun sebelum tamat penggal tidak memerlukan pilihan raya diadakan.

"Ahli Parlimen, dia boleh buat bicara atau tindakan sendiri tetapi yang penting rakyat yang mengundi. Seperti saya di Pengerang, rakyat pun dia mahukan wakil rakyat itu habiskan tempoh...

"Itu pandangan saya dari aspek rakyat tetapi mungkin sebagai pemimpin, mereka ada pandangan sendiri," ujar beliau lagi.

Hari ini, Rafizi dan Nik Nazmi mengesahkan sudah menghantar surat pemaklumkan kekosongan kerusi Parlimen masing-masing kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Menerusi kenyataan bersama, Rafizi dan Nik Nazmi berkata, keputusan mengosongkan kerusi parlimen Pandan dan Setiawangsa itu berikutan hasrat mereka untuk meneroka agenda politik baharu.

Susulan itu, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam satu kenyataan mengesahkan menerima surat peletakan jawatan daripada Rafizi dan Nik Nazmi tersebut.

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing mengumumkan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa, sekali gus keluar daripada PKR.

Must Watch Video