Skip to main content

Hiburan

Tarung: Unforgiven raih RM15.7 juta, terus kukuh dominasi pawagam

Tarung: Unforgiven Raih RM15.7 juta, Terus Kukuh Dominasi Pawagam -- Gempak
Menurut Razaisyam, kutipan RM15.7 juta bukan sekadar angka semata-mata, sebaliknya menjadi bukti penonton Malaysia kini semakin terbuka menyokong karya tempatan berkualiti.

FILEM aksi Tarung: Unforgiven arahan Razaisyam Rashid terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih kutipan RM15.7 juta selepas 11 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Lebih membanggakan, karya terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw itu masih kekal mendominasi carta Top 10 GSC di tangga pertama sejak hari pertama tayangan.

Pengarah, penulis skrip dan penerbit eksekutifnya, Razaisyam Rashid mengakui terharu melihat sambutan luar biasa diterima filem berkenaan.

“Melihat sambutan luar biasa penonton terhadap Tarung: Unforgiven benar-benar menyentuh hati saya dan seluruh pasukan produksi.

“Kami menghasilkan filem ini dengan penuh jiwa, disiplin dan komitmen untuk mengangkat martabat filem aksi tempatan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Menurut Razaisyam, kutipan RM15.7 juta bukan sekadar angka semata-mata, sebaliknya menjadi bukti penonton Malaysia kini semakin terbuka menyokong karya tempatan berkualiti.

“Kutipan ini adalah isyarat jelas bahawa penonton Malaysia bersedia menyokong karya tempatan yang berani, jujur dan berkualiti.

“Saya berharap momentum ini akan terus berpanjangan dan membawa lebih ramai penonton ke pawagam,” ujarnya.

Sementara itu, pelakon dan penerbit filem tersebut, Aedy Ashraf turut meluahkan rasa syukur atas sokongan luar biasa diberikan penonton sejak hari pertama tayangan.

“Melihat reaksi di pawagam serta perbualan dalam media sosial memberikan kami tenaga dan semangat yang sangat besar sepanjang perjalanan ini.

“Kejayaan ini adalah milik semua yang percaya dan menyokong Tarung: Unforgiven,” katanya.

Tambah Aedy, pihak produksi turut mengajak penonton yang masih belum menonton supaya merasai sendiri pengalaman filem tersebut di layar besar.

Tarung: Unforgiven membariskan pelakon seperti Mierul Aiman, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Sky Iskandar dan Aeril Zafrel.

Barisan pelakon filem tersebut juga bakal turun padang menerusi siri jelajah di Zon Utara pada 22 hingga 24 Mei ini. -- Gempak
 

Must Watch Video