Skip to main content

Malaysia

Perkukuh R&D teknologi penyimpanan tenaga, elak kebergantungan import bateri - Fadillah

DUNGUN, 18 Mei -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap pada sidang media pada perasmian Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong 100MW/400MWh di Santong, Paka hari ini.    -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada sekadar mengimport bateri, negara perlu mula memfokuskan kepada R&D serta membina kekuatan dalaman dari segi pengeluaran bateri dan pelbagai teknologi lain yang berkaitan dengan bekalan tenaga. - Foto BERNAMA

DUNGUN: Penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi penyimpanan tenaga perlu diperkukuh dan diberi keutamaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import bateri selain membina keupayaan pengeluaran serta pembangunan teknologi bekalan tenaga domestik.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada sekadar mengimport bateri, negara perlu mula memfokuskan kepada R&D serta membina kekuatan dalaman dari segi pengeluaran bateri dan pelbagai teknologi lain yang berkaitan dengan bekalan tenaga.

“Keadaan global yang tidak menentu menuntut negara mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar dengan membina keupayaan sendiri merangkumi keseluruhan rantaian sektor tenaga.

"Ini termasuk dari segi bekalan tenaga dan teknologi yang berkaitan dengannya antaranya penyimpanan bateri supaya kita mampu menghasilkan bateri sendiri pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena dengan majlis perasmian Projek Battery Energy Storage System (BESS) Santong berkapasiti 100MW/400MWj yang dibangunkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), di sini, hari ini.

Katanya, dengan pelancaran BESS pertama ini beliau berharap akan menjadi titik permulaan kepada usaha TNB untuk terus berkembang, khususnya dalam memperkukuh jalinan kerjasama dengan pembekal luar negara. 

Sementara itu, Fadillah berkata terdapat tiga elemen utama dalam pengurusan tenaga yang perlu dipenuhi negara. 

“Elemen pertama ialah keterjaminan bekalan tenaga bagi memastikan keperluan negara sentiasa mencukupi dalam menghadapi ketidaktentuan global.

"Kedua ialah kelestarian iaitu untuk kita pastikan tenaga yang dibekalkan itu mesra alam supaya tidak merosakkan alam sekitar, dan kita nak mengurangkan kebergantungan kepada sumber daripada pembakaran karbon," katanya.

Elemen ketiga pula, katanya, ialah kemampuan yang menekankan bahawa tenaga yang dibekalkan bukan sahaja terjamin dan lestari, namun juga perlu mampu dibiayai oleh rakyat serta kekal kompetitif bagi sektor industri.

Beliau berkata komitmen negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 memerlukan sektor tenaga memainkan peranan besar, dengan kira-kira 70 peratus sumber tenaga perlu datang daripada tenaga boleh baharu atau tenaga bersih.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video