MADRID: Mahkamah Tinggi Sepanyol (Audiencia Nacional) mengarahkan pihak berkuasa cukai negara itu memulangkan lebih €55 juta (kira-kira RM233 juta) kepada penyanyi Colombia, Shakira.
Jumlah keseluruhan pemulangan dijangka melebihi €60 juta (kira-kira RM255 juta) selepas mengambil kira faedah undang-undang serta kos guaman.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati agensi cukai Sepanyol gagal membuktikan penyanyi lagu "Hips Don’t Lie" itu menetap di negara berkenaan melebihi 183 hari pada 2011, ambang kelayakan sebagai pemastautin cukai.
Sebaliknya, dokumen mahkamah menunjukkan Shakira hanya berada di Sepanyol selama 163 hari pada tahun tersebut, selain pihak berkuasa gagal membuktikan pusat kepentingan ekonominya berada di negara itu.
Keputusan tersebut membatalkan pelbagai taksiran cukai serta denda bernilai jutaan euro yang dikenakan sebelum ini, termasuk denda €25 juta (kira-kira RM106 juta) atas dakwaan pelanggaran cukai serius.
Peguamnya, Jose Luis Prada, menyifatkan keputusan itu sebagai penamat kepada tekanan emosi berpanjangan yang dihadapi anak guamnya selama lapan tahun.
"Modus operandi agensi cukai ini sering menindas pembayar cukai tanpa nama yang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk mempertahankan diri mereka di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada laporan The Times.
Shakira, 49, yang kini menetap di Miami, Amerika Syarikat, sebelum ini pernah membandingkan siasatan agresif agensi cukai Sepanyol ke atas dirinya seperti sebuah "mahkamah inkuisisi" yang lebih berminat untuk menjatuhkan reputasi beliau secara terbuka.
Kemenangan undang-undang ini hadir ketika penyanyi berkenaan sedang bersiap sedia untuk menamatkan siri jelajah dunia pecah panggungnya, "Women Don't Cry Anymore", menerusi konsert residensi di Madrid bermula September depan.