JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menyita 44 kenderaan mewah atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Luxury yang dijalankan di seluruh negeri, bermula 1 Jan lepas hingga semalam.
Pengarah JPJ negeri Zulkarnain Yasin berkata operasi khas itu dilaksanakan hasil risikan, pemantauan dan aduan awam berkaitan tahap pematuhan undang-undang termasuk aspek teknikal, dokumentasi serta keselamatan kenderaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah berkaitan.
"Antara kesalahan utama yang dikesan adalah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan lesen memandu serta kesalahan teknikal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkarnain berkata notis JPJ P(22) turut dikeluarkan terhadap pemilik dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
Selain itu, katanya, pemeriksaan teknikal turut dijalankan bagi memastikan setiap kenderaan berada dalam keadaan selamat dan tidak mendatangkan risiko kepada pengguna lain.
Beliau berkata pelaksanaan operasi itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa tiada sebarang pengecualian terhadap pematuhan undang-undang jalan raya walaupun melibatkan kenderaan berstatus mewah.
Sebarang aduan berkaitan kesalahan lalu lintas boleh disalurkan melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan@JPJ) atau emel [email protected].
-- BERNAMA