Skip to main content

Sukan

McGregor kembali lawan Holloway: 'Comeback' legenda atau permulaan kejatuhan?

bareknucklefc
Nama Conor McGregor kembali menggegarkan dunia seni bela diri campuran (MMA) selepas UFC akhirnya mengumumkan kepulangan rasmi bekas juara dua divisyen itu untuk menentang Max Holloway di UFC 329 pada 11 Julai di Las Vegas. - Foto Instagram/@thenotoriousmma

NAMA Conor McGregor kembali menggegarkan dunia seni bela diri campuran (MMA) selepas UFC akhirnya mengumumkan kepulangan rasmi bekas juara dua divisyen itu untuk menentang Max Holloway di UFC 329 pada 11 Julai di Las Vegas. 

Pertarungan tersebut bakal menjadi aksi pertama McGregor dalam tempoh hampir lima tahun sejak mengalami patah kaki serius ketika tewas kepada Dustin Poirier pada UFC 264 pada 2021.

Namun pengumuman itu bukan sekadar tentang satu lagi pertarungan besar UFC. Ia turut menghidupkan semula persoalan yang sudah lama menghantui dunia MMA moden; adakah Conor McGregor masih mampu bersaing di tahap tertinggi, atau dunia kini sedang menyaksikan bab terakhir kejatuhan seorang legenda?

Untuk memahami mengapa comeback ini menjadi perhatian global, seseorang perlu memahami siapa sebenarnya McGregor kepada UFC. Sebelum kemunculan petarung Ireland itu, UFC sememangnya sudah berkembang sebagai organisasi MMA terbesar dunia. Namun sukan itu masih banyak bergantung kepada pasaran Amerika Utara dan peminat hardcore MMA.

McGregor mengubah keseluruhan landskap tersebut.

Dengan personaliti lantang, keyakinan luar biasa dan kemampuan menjual pertarungan seperti seorang superstar hiburan, beliau berjaya membawa UFC masuk ke arus perdana budaya pop global. Sidang media UFC berubah menjadi acara hiburan. Trash talk menjadi senjata pemasaran utama. Petarung mula memahami kepentingan membina karakter dan jenama peribadi.

Dalam tempoh kemuncaknya sekitar 2015 hingga 2018, McGregor menjadi fenomena global. Beliau menewaskan Jose Aldo dalam masa 13 saat, menumbangkan Eddie Alvarez untuk menjadi juara dua divisyen serentak pertama dalam sejarah UFC dan memecahkan pelbagai rekod pay-per-view organisasi itu. Pertarungannya menentang Khabib Nurmagomedov di UFC 229 pula masih kekal sebagai acara pay-per-view MMA terbesar sepanjang zaman dengan lebih 2.4 juta pembelian.

Tiada petarung lain dalam sejarah UFC pernah menggabungkan aura sukan, hiburan dan pemasaran seperti McGregor pada kemuncak kariernya.

Namun masalah terbesar untuk McGregor hari ini ialah dunia UFC sudah banyak berubah sejak beliau meninggalkan puncak. Divisyen lightweight dan welterweight kini dipenuhi generasi baharu yang jauh lebih lengkap dari sudut striking, grappling dan conditioning. Nama seperti Ilia Topuria, Arman Tsarukyan, Shavkat Rakhmonov dan Jack Della Maddalena mewakili era baharu UFC yang lebih atletik dan teknikal. Bekas juara lightweight UFC, Islam Makhachev, pula kini sudah beralih ke divisyen welterweight selepas melepaskan tali pinggang lightweight.

McGregor pula akan kembali selepas lima tahun tidak aktif dengan rekod tiga kekalahan dalam empat pertarungan terakhirnya. Itu hakikat yang sukar diabaikan.

Apa yang menjadikan comeback ini lebih menarik ialah lawannya bukan lagi petarung muda yang pernah ditewaskannya pada 2013. Max Holloway hari ini dianggap antara featherweight terbaik dalam sejarah UFC. Selepas kekalahan kepada McGregor lebih sedekad lalu, Holloway berkembang menjadi juara featherweight UFC dan antara petarung paling tahan lasak dalam dunia MMA moden.

Beliau juga memegang rekod strike tertinggi dalam sejarah UFC dan terus membina reputasi sebagai antara petarung paling konsisten dalam generasinya. Knockout dramatik Holloway ke atas Justin Gaethje di UFC 300 turut dianggap antara momen paling ikonik dalam era moden UFC.

Walaupun Holloway tewas kepada Charles Oliveira di UFC 326 awal tahun ini, beliau masih dianggap antara nama elit UFC dan jauh lebih aktif berbanding McGregor. Ramai penganalisis percaya Holloway sebenarnya memasuki pertarungan ini sebagai pilihan lebih selamat dari sudut kompetitif.

Namun persoalan terbesar mungkin bukan tentang teknik atau strategi pertarungan. Ia lebih berkait dengan mentaliti McGregor sendiri.

Dulu beliau ialah petarung yang datang daripada kehidupan sederhana di Dublin dan obses mahu menjadi juara dunia. Hari ini beliau ialah jutawan global dengan empayar perniagaan sendiri, kapal layar mewah, filem Hollywood dan status selebriti antarabangsa.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, McGregor lebih banyak menjadi tajuk berita kerana kontroversi luar gelanggang berbanding aksi dalam Octagon. Beliau turut berdepan pelbagai isu undang-undang dan insiden awam yang sedikit sebanyak menjejaskan reputasinya sebagai ikon global sukan tempur.

Situasi itu menimbulkan persoalan yang sering dibincangkan peminat MMA: adakah McGregor masih benar-benar lapar untuk menjadi juara?

Ramai bekas juara UFC sebelum ini gagal melakukan comeback besar kerana kehilangan motivasi dan disiplin yang pernah membawa mereka ke puncak. Dalam dunia MMA moden, bakat sahaja tidak lagi cukup untuk bertahan di tahap tertinggi.

Walaupun begitu, satu perkara masih jelas - UFC masih memerlukan McGregor.

Tiada petarung lain hari ini yang mampu menghasilkan perhatian media global seperti dirinya. Nama seperti Alex Pereira, Ilia Topuria dan Tom Aspinall mungkin lebih dominan dalam Octagon, namun dari sudut budaya pop dan nilai komersial, McGregor masih berada dalam kelas tersendiri.

Setiap kali beliau memuat naik video latihan atau memberi bayangan tentang comeback, dunia MMA kembali kecoh. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UFC, Dana White, sendiri beberapa kali mengakui bahawa McGregor masih merupakan bintang terbesar dalam sejarah organisasi itu.

Bagi McGregor, UFC 329 mungkin lebih daripada sekadar satu lagi pertarungan. Ia boleh menentukan bagaimana sejarah akan mengingatinya.

Jika beliau berjaya menewaskan Holloway selepas lima tahun berehat, ia mungkin menjadi antara comeback terbesar dalam sejarah UFC moden. Namun jika beliau kalah sekali lagi, terutama dalam keadaan prestasi yang mengecewakan, dunia MMA mungkin mula menerima hakikat bahawa era Conor McGregor sudah benar-benar berakhir.

Apa pun keputusan nanti, satu perkara sukar dinafikan. Walaupun sudah lama meninggalkan puncak sebenar UFC, bayang Conor McGregor masih terlalu besar untuk diabaikan dalam dunia MMA moden.


-- Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.

Must Watch Video