Skip to main content

Malaysia

Tindakan tegas menanti pemborong, peruncit sorok beras putih di Sabah - Jamawi

81522293705_JAMAWIJAAFAR.jpg
Jamawi berkata, arahan jelas telah dikeluarkan kepada Bahagian Kawal Selia Beras di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk melaksanakan penguatkuasaan itu. - Gambar fail

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memberi amaran dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tuntas serta tegas terhadap mana-mana pemborong atau peruncit di Sabah yang didapati menyorok bekalan beras putih import.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata arahan jelas telah dikeluarkan kepada Bahagian Kawal Selia Beras di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk melaksanakan penguatkuasaan itu.

Beliau memandang serius isu keterjaminan bekalan makanan ruji rakyat Sabah itu dan enggan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja memanipulasi pasaran bagi tujuan tertentu.

"Saya amat serius dan mengambil tahu akan keperluan beras yang mencukupi untuk rakyat Sabah. Saya telah mengarahkan Bahagian Kawal Selia KPKM untuk mengambil tindakan tuntas kepada mana-mana pemborong atau peruncit menyorok beras putih import ini atas apa-apa tujuan," menurutnya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Jamawi mempengerusikan sesi libat urus yang menghimpunkan semua agensi kerajaan dan pemain industri berkaitan beras bagi memastikan bekalan itu sentiasa mencukupi serta tersedia di pasaran tempatan seluruh negeri.

Sesi itu dihadiri wakil Lembaga Padi dan Beras Sabah, Bahagian Kawal Selia Beras KPKM, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Yang turut hadir ialah wakil Lembaga Pelabuhan Sabah berserta barisan pemborong, peruncit dan pemain industri padi dan beras Sabah.

Jamawi berkata sesi itu ialah platform penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara semua pihak bagi memastikan rantaian bekalan beras kekal stabil.

Beliau berkata persetujuan telah dicapai untuk mengambil pelbagai langkah intervensi dan penguatkuasaan drastik bermula hari ini.

"Langkah-langkah drastik ini penting agar keterjaminan makanan ruji ini sentiasa mencukupi untuk semua rakyat Sabah," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video