KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada dalam fasa amaran yang serius dan semakin meruncing, namun masih belum di ambang krisis ekonomi penuh susulan ketegangan geopolitik global, khususnya konflik yang memuncak di Asia Barat, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut beliau, keadaan semasa menuntut kewaspadaan tinggi kerana tingkap masa untuk bertindak semakin sempit, walaupun petunjuk ekonomi dan pasaran Malaysia ketika ini masih menunjukkan asas yang kukuh.
“Jika ditanya sama ada kita berada di ambang krisis atau masih dalam fasa amaran, jawapannya ialah kita berada dalam fasa amaran yang serius dan semakin meruncing, bukan krisis - tetapi masa yang kita ada untuk bertindak semakin singkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif program Niaga AWANI yang disiarkan pada Rabu.
Tengku Zafrul yang juga Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri berkata, konflik geopolitik, terutamanya ancaman ke atas keselamatan laluan tenaga global seperti Selat Hormuz, membawa risiko kejutan harga tenaga yang boleh memberi kesan meluas kepada ekonomi dunia, termasuk Malaysia.
Menurut beliau, Selat Hormuz yang menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan petroleum dunia telah menyaksikan gangguan ketara terhadap pergerakan kapal tanker, sekali gus menekan harga minyak global ke paras jauh lebih tinggi daripada andaian asas.
Katanya, walaupun Malaysia tidak berada dalam kategori negara paling terdedah di rantau ini, namun, negara tetap berdepan risiko limpahan melalui peningkatan kos tenaga, logistik, bahan mentah dan tekanan inflasi import sekiranya gangguan berpanjangan.
Beliau berkata, fahaman bahawa risiko hanya akan muncul apabila data makroekonomi merosot adalah tidak lagi relevan dalam persekitaran global hari ini, memandangkan pasaran kewangan sering memberi isyarat awal lebih pantas berbanding statistik rasmi.
“Dalam pengalaman saya, pasaran modal biasanya bertindak dan memberi amaran lebih awal daripada data rasmi. Apabila keyakinan tergugat, kesannya boleh berlaku lebih awal sebelum angka ekonomi menunjukkan sebarang kejatuhan ketara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan, defisit fiskal yang terus menyusut dan kadar pengangguran pada tahap rendah.
Menurut Tengku Zafrul, petunjuk pasaran domestik ketika ini juga tidak menunjukkan tanda pelarian modal secara besar-besaran, sebaliknya menggambarkan pendekatan lebih berhati-hati dalam kalangan pelabur yang menunggu kejelasan geopolitik global.
Dalam hal itu, beliau berkata, cabaran terbesar bukan semestinya kemelesetan mendadak, tetapi risiko pembekuan ekonomi secara senyap apabila perniagaan, pelabur dan pengguna serentak menangguhkan keputusan penting.
“Risiko paling berbahaya ialah apabila terlalu ramai pihak memilih untuk menunggu pada masa yang sama. Itulah sifat pembekuan ekonomi yang sukar dikesan pada peringkat awal, tetapi kesannya boleh menjadi mendalam,” katanya.
Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, keutamaan ketika ini ialah memastikan tindakan dasar dibuat lebih awal dan bersifat pencegahan bagi melindungi ekonomi serta rakyat daripada kesan lebih besar sekiranya keadaan global terus meruncing.