KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik perkembangan terbaharu dalam konflik antara Amerika Syarikat dan Iran, khususnya berhubung pelan 10 perkara yang dicadangkan Tehran dan diterima secara positif oleh Washington.
Beliau berkata, cadangan itu memberi petanda positif ke arah pemulihan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di rantau Asia Barat, malah di seluruh dunia.
"Proses rundingan perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan serta tekad untuk mencapai penyelesaian berkekalan terhadap isu yang sedang melanda rantau berkenaan.
“Rundingan damai tidak akan berjaya sekiranya diselubungi penipuan dan kepentingan tersembunyi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Anwar turut menegaskan bahawa pelan 10 perkara itu perlu diterjemahkan kepada perjanjian damai yang menyeluruh, melibatkan bukan sahaja Iran, tetapi juga negara lain yang terkesan termasuk Iraq, Lubnan dan Yaman.
Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan mendesak untuk menamatkan genosid serta penindasan terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Pakistan dan Perdana Menterinya, Shehbaz Sharif, atas usaha diplomasi yang disifatkan berani dan tidak mengenal penat dalam membantu menjayakan perkembangan tersebut.
Menurut beliau, kesediaan Pakistan untuk berunding dengan semua pihak tanpa memihak mencerminkan semangat solidariti umat Islam serta tanggungjawab antarabangsa yang tinggi.
Malaysia, katanya, bersedia untuk menyokong dan melengkapkan segala usaha ke arah mencapai keamanan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru komuniti antarabangsa memastikan akses bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan kepada semua penduduk awam yang terkesan akibat konflik berkenaan.
“Biarlah ini menjadi titik perubahan ke arah keamanan berkekalan. Dunia tidak mampu untuk menerima sesuatu yang kurang daripada itu,” katanya.