PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan seorang menteri daripada rejim Zionis Israel yang memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur pada 7 April lalu.
Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menegaskan, tindakan provokatif itu dilakukan ketika masjid berkenaan ditutup kepada umat Islam, sekali gus disifatkan sebagai pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta mencemari kesucian antara tapak paling suci dalam Islam.
Kata Malaysia, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengancam keamanan dan kestabilan serantau, malah menjejaskan hak kebebasan beragama umat Islam di seluruh dunia.
Menurut Wisma Putra, kerajaan turut menekankan bahawa perlindungan dan penghormatan terhadap Masjid Al-Aqsa serta tapak suci lain di Baitulmaqdis adalah tanggungjawab yang tidak boleh dirunding di bawah undang-undang antarabangsa.
Sehubungan itu, Malaysia menyeru komuniti antarabangsa agar mengutuk tindakan Israel secara tegas, selain menuntut agar semua bentuk provokasi dan tindakan agresif dihentikan serta-merta.
Malaysia juga menggesa langkah konkrit diambil bagi memastikan tapak suci di Baitulmaqdis kekal selamat, dilindungi dan boleh diakses oleh semua jemaah tanpa sekatan.
Dalam masa sama, Malaysia menegaskan solidariti berterusan bersama rakyat Palestin, selain komitmen untuk mempertahankan warisan agama, budaya dan kebangsaan mereka.
Malaysia konsisten memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.