Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Ribuan rakyat Iran berhimpun sokong pemimpin

People shout slogans as they gather after a two-week ceasefire in the Iran war was announced, in Tehran, Iran, April 8, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY.
Ribuan rakyat Iran berhimpun di Dataran Enghelab, Tehran, pada awal pagi Rabu sebagai tanda sokongan padu kepada Pemimpin Tertinggi, Mojtaba Khamenei. - Gambar Reuters

TEHRAN: Ribuan rakyat Iran berhimpun di Dataran Enghelab, di sini, pada awal pagi Rabu sebagai tanda sokongan padu kepada Pemimpin Tertinggi, Mojtaba Khamenei, meskipun Presiden Donald Trump mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Perhimpunan itu menyaksikan orang ramai mengibarkan bendera dan melaungkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan negara, ketika ketegangan di Asia Barat berada di ambang konflik besar.

Seorang wanita yang menyertai demonstrasi tersebut berkata rakyat Iran akan akur sepenuhnya terhadap keputusan pemimpin mereka.

“Jika pemimpin kami merasakan gencatan senjata perlu, kami akan ikut. Jika tidak, kami bersedia untuk terus berada di jalanan dan berjuang selamanya,” katanya.

Perkembangan itu berlaku selepas Trump pada Selasa mengumumkan persetujuan untuk menangguhkan serangan ke atas Iran selama dua minggu, hanya beberapa jam selepas beliau memberi amaran keras mengenai kemungkinan kemusnahan besar.

Menurut Trump, keputusan itu dibuat dengan syarat Iran membuka semula Selat Hormuz, laluan strategik yang menjadi nadi utama penghantaran minyak dunia.

Susulan pengumuman tersebut, Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran mengeluarkan kenyataan panjang melalui media negara yang mendakwa kemenangan, selain menggariskan pelan 10 perkara sebagai asas untuk menamatkan konflik.

Langkah gencatan sementara ini dilihat sebagai usaha meredakan ketegangan yang sebelum ini berisiko mencetuskan krisis lebih besar di rantau Asia Barat dan ekonomi global. - Agensi

Must Watch Video