Skip to main content

Malaysia

Tiga beradik didakwa bunuh lelaki di Jasin

81761814609_courtgavel.jpg
Ketiga-tiga tertuduh didakwa membunuh Richard Edward, 30, di kawasan berhampiran sebuah taman permainan, di Merlimau, Jasin antara 8 hingga 8.30 malam pada 13 Mei lepas. - Gambar hiasan

JASIN: Tiga beradik didakwa di Mahkamah Majistret Jasin di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di kawasan berhampiran sebuah taman permainan dua minggu lepas.

Ketiga-tiga tertuduh R Murugan, 20, R Arunasalam, 27, dan R Magendran, 28, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Mazana Sinin. 

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa membunuh Richard Edward, 30di kawasan berhampiran taman permainan, Jalan Anum 3, Taman Muhibbah, Merlimau dalam daerah Jasin antara 8 hingga 8.30 malam pada 13 Mei lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Yusri manakala peguam L Sherveen mewakili ketiga-tiga tertuduh. 

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia dan patologi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement