Skip to main content

Malaysia

PM Anwar seru umat Islam hayati pengorbanan Aidiladha, amalkan kesederhanaan

Hari ini saya pulang sebentar ke Permatang Pauh, Pulau Pinang sambil menyantuni rakyat pada Majlis Korban Perdana di Masjid Jamek Cerok Tokun Bawah sempena Hari Raya Aidiladha.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam supaya menghayati makna sebenar pengorbanan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam supaya menghayati makna sebenar pengorbanan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dengan menjadikan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s sebagai teladan dalam kehidupan.

Menerusi perutusan Aidiladha yang dimuat naik di platform media sosial rasminya, beliau berkata kebesaran dan kemuliaan Aidiladha memperlihatkan hikmah serta rahsia Allah SWT di sebalik setiap ujian dan pengorbanan yang ditempuhi manusia.

"Setiap usaha dalam mendepani cabaran kehidupan pasti menuntut pengorbanan, sama ada dalam pengurusan ekonomi negara, bidang keilmuan mahupun urusan keagamaan.

β€œPengorbanan yang kita lakukan hari ini punya harganya yang tersendiri dalam pelbagai perkara. Berkorban dalam menongkah ujian hari ini demi masa hadapan yang lebih baik ternyata menjadi rahsia Tuhan yang terdalam, demi masa depan keluarga, negara dan kehidupan selepas kematian,” katanya.

Anwar turut memetik firman Allah SWT menerusi Surah al-Saffat ayat 99 hingga 102 yang mengisahkan ketaatan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Beliau berkata tanpa pengorbanan, kehidupan akan menjadi gersang nilai dan tidak bermakna, malah keikhlasan serta ketakwaan seseorang dapat diukur melalui apa yang sanggup dikorbankan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan ibadah Haji merupakan antara kurniaan terbesar Allah SWT kepada umat Islam kerana mempunyai maqasid kerohanian yang mendidik jiwa supaya lebih zuhud, sederhana dan tawaduk.

Katanya, pemakaian ihram berwarna putih melambangkan kesucian dan kesederhanaan, manakala wuquf di Arafah pula menjadi simbol penyatuan umat tanpa mengira darjat dan kedudukan.

β€œJangan kita terpesong dari tujuan dan landasan kita. Dunia harus menjadi jambatan utuh ke arah negeri yang abadi dan kekal selamanya. 

"Saya turut mendoakan agar semua jemaah haji Malaysia yang kini berada di Tanah Suci memperoleh haji mabrur dan pulang ke tanah air dengan selamat," katanya lagi. 

 

Must Watch Video

Advertisement