Skip to main content

Malaysia

Tiada lagi isu kebersihan, MPAJ dan UNHCR sedia tapak sembelihan khas untuk Rohingya

Korban Rohingya
Program korban yang disertai komuniti warga asing termasuk etnik Rohingya di tapak khas sekitar Taman Melur, Ampang Jaya anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Rabu. -Gambar/ Astro AWANI/ Firdaus Mohari

AMPANG JAYA: Enggan ibadah korban melibatkan etnik Rohingya menimbulkan masalah kepada masyarakat setempat, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kali ini mengambil tindakan proaktif.

Mereka menyediakan tapak khas bagi memastikan aktiviti penyembelihan dapat dijalankan secara tersusun dan bersih.

Langkah ini susulan kegusaran dibangkitkan masyarakat setempat sebelum ini, berikutan cara komuniti itu menguruskan aktiviti penyembelihan tanpa mengikut prosedur sewajarnya.

Ahli Majlis MPAJ, Mohammad Firdaus Babh berkata, sebelum ini terdapat segelintir komuniti warga asing melaksanakan korban di lokasi tidak sesuai seperti padang awam, kaki lima premis perniagaan dan kawasan perumahan.

“Dalam proses daging itu hendak dibawa pulang ke rumah, darah dan juga cebisan daging itu berjejehan sepanjang perjalanan di atas jalan raya.

“Kalau kita tak kawal benda ini, selepas tiga hingga empat bulan, bau yang busuk akan naik sehingga mengganggu masyarakat sekitar,” katanya yang menjelaskan inisiatif ini sudah dilaksanakan sejak 2024.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts Hasrolnizam Shaari berkata, inisiatif kali ini diambil untuk menyediakan tapak khas lengkap dengan kemudahan asas bagi memastikan aktiviti korban komuniti warga asing dapat dijalankan secara lebih sistematik.

“Kita memudahkan urusan mereka, kalau lembu yang nak dikorbankan ini kita minta mereka daftarkan.

“Dan kita menyediakan kemudahan asas seperti khemah, air yang bersih dan juga jentera untuk menguruskan upacara korban ini. Selepas habis korban ini, kita akan membersihkan semula dengan kita menutup tapak yang ada,” katanya.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, langkah itu menyaksikan suasana Aidiladha di Taman Melur, di sini, pada Rabu meriah dengan aktiviti berkenaan dalam suasana yang terkawal.

Sebanyak 74 ternakan terdiri daripada lembu dan kerbau berjaya disembelih sebelum tengah hari.

Peserta korban Rohingya, Habib Eliyas berkata, daging korban bukan sahaja diagihkan dalam kalangan komuniti mereka, malah turut dikongsi bersama masyarakat lain tanpa mengira bangsa atau kewarganegaraan.

“Kita dah sembelih dekat sini, dan bawa balik rumah untuk buat kenduri sikit.

"Selepas itu kita buat buat pembungkusan (daging) dan bagi semua orang, tidak kira Melayu, Myanmar atau Bangladesh. Semua kita bagi balik, kita makan-makan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, pada Rabu.

Seorang lagi peserta etnik Rohingya, Mubarak Abul Bashar berkata, agihan daging korban dilakukan mengikut tuntutan agama dengan mengutamakan golongan memerlukan.

“Ini bahagian untuk lembu ada tiga, satu ambil sendiri, satu untuk saudara, satu untuk orang miskin. Ada kita ambil, masak dan makan sendirian, masak kari saja,” jelasnya.

 

Must Watch Video

Advertisement