Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Abdul Halim Aman dilantik Ketua Pesuruhjaya baharu SPRM

Datuk Seri Abdul Halim Aman._Facebook
Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini. - Gambar Facebook

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Lantikan tersebut berkuat kuasa 13 Mei ini.

Pengumuman lantikan Abdul Halim itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan yang dikongsi di akaun media sosial beliau pada Sabtu.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mempersembahkan cadangan pelantikan itu kepada Sultan Ibrahim.

"Pelantikan itu selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

"Kerajaan menyatakan keyakinan bahawa pengalaman luas serta tahap integriti tinggi Abdul Halim mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan.

"Pelantikan itu juga dilihat sebagai langkah penting dalam memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara," kata Shamsul Azri pada Sabtu. 

Pada Jumaat, Perdana Menteri Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan cadangan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Ketika ini, SPRM diketuai oleh Tan Sri Azam Baki yang bakal menamatkan perkhidmatan pada 12 Mei ini.

 

Must Watch Video