Skip to main content

Teknologi

DeepSeek perkenal versi pratonton DeepSeek‑V4 Flash, Pro

51769756738_TBDeepseek.jpg
Model baharu itu diperkenalkan dalam dua versi iaitu DeepSeek‑V4‑Flash dan DeepSeek‑V4‑Pro, susulan kejayaan beberapa model terdahulu termasuk model penaakulan R1 yang mencetuskan perhatian global industri teknologi sebelum ini. -Gambar fail

BEIJING: DeepSeek secara rasmi memperkenalkan versi pratonton model kecerdasan buatan (AI) terbaharunya, DeepSeek‑V4, yang menawarkan keupayaan penaakulan lebih tinggi serta kecekapan kos pembangunan yang ketara berbanding pesaing lain di pasaran.

Model baharu itu diperkenalkan dalam dua versi iaitu DeepSeek‑V4‑Flash dan DeepSeek‑V4‑Pro, susulan kejayaan beberapa model terdahulu termasuk model penaakulan R1 yang mencetuskan perhatian global industri teknologi sebelum ini, lapor Amanz.

DeepSeek‑V4 menyokong konteks sehingga satu juta token, membolehkan penjanaan maklumat yang kekal konsisten dan sesuai untuk kegunaan pembangunan kod serta pengurusan dokumen berskala besar.

 

 

Seperti keluaran terdahulu, syarikat itu mengekalkan pendekatan sumber terbuka, membolehkan pembangun memuat turun, mengubah suai dan mengintegrasikan teknologi berkenaan ke dalam projek masing‑masing, selain menyediakan akses melalui Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API).

Walaupun buat masa ini hanya menyokong format teks, DeepSeek‑V4 dilaporkan lebih efisien dari segi teknikal dengan penekanan khusus terhadap keupayaan tugasan ejen AI yang lebih kompleks.

Pengguna boleh menguji model baharu berkenaan menerusi laman web rasmi DeepSeek di bawah mod Expert atau Instant, manakala kemas kini API mula ditawarkan bermula hari ini.

Must Watch Video