Skip to main content

Malaysia

Empat siri, satu Legenda: M. Nasir lengkapkan konsert CIPTA

M Nasir -- Photo credit: ICON ENTERTAINMENT
Penganjuran DATO’ M.N47IR CIPTA 4 merupakan kesinambungan kepada visi jangka panjang mereka untuk menghasilkan konsert yang bukan sahaja meraikan seni, malah mencipta sejarah industri.

KUALA LUMPUR: Legenda muzik tanah air, Datuk M. Nasir bakal melengkapkan siri konsert CIPTA menerusi penganjuran DATO’ M. N47IR CIPTA 4 yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai 2026 di Unifi Arena Kuala Lumpur, bermula jam 8.30 malam.

Pementasan ini sekali gus menjadi kemuncak kepada trilogi CIPTA yang sebelum ini mencetus fenomena besar dalam industri muzik tempatan dengan penganjuran Konsert Cipta 1, Cipta 2 dan Cipta 3, selain edisi khas Cipta Raya.

Menurut penganjur, Icon Entertainment, pemilihan judul CIPTA melambangkan keseluruhan perjalanan seni M. Nasir yang sinonim dengan idea, daya pemikiran dan kreativiti luar biasa dalam menghasilkan karya seni yang bersifat unik serta merentas generasi.

Sejak penganjuran M. Nasir Cipta 1 pada Ogos 2024, jenama CIPTA terus berkembang dengan Cipta 2 pada Oktober 2024, Cipta 3 pada September 2025 serta Konsert Cipta Raya pada Mac 2025, sekali gus meletakkan standard baharu penganjuran konsert tempatan.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, penganjuran DATO’ M. N47IR CIPTA 4 merupakan kesinambungan kepada visi jangka panjang mereka untuk menghasilkan konsert yang bukan sahaja meraikan seni, malah mencipta sejarah industri.

“Bagi Icon Entertainment, setiap konsert yang dianjurkan adalah usaha mencipta kayu ukur baharu buat industri muzik tempatan. 

"Sejak awal, kami mensasarkan Konsert M. Nasir dipecahkan kepada empat konsep utama di bawah jenama CIPTA,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penganjuran empat siri konsert tersebut wajar dilakukan memandangkan ratusan karya ciptaan M. Nasir yang berpengaruh dan mempunyai nilai seni tinggi, bukan sahaja untuk dirinya sendiri, malah untuk penyanyi lain.

DATO’ M. N47IR CIPTA 4 dijangka menyajikan dimensi baharu kepada peminat setia maestro berusia 68 tahun itu, dengan persembahan karya-karya ikonik yang membentuk landskap muzik tempatan sejak beberapa dekad lalu.

“Jika ada yang merasakan trilogi CIPTA sudah memadai, percayalah Cipta 4 akan memberikan nikmat dan pengalaman berbeza. Ini bukan momen yang mudah diulang dalam masa terdekat,” tambah Iman.

Sementara itu, M. Nasir turut mengajak para peminat untuk hadir bagi melengkapkan keraian siri CIPTA yang telah dibangunkan sejak 2024.

“Datang dan lengkapkan keraian trilogi Cipta dengan DATO’ M. N47IR CIPTA 4. Kita akan mencipta sejarah untuk masa depan,” kata beliau ringkas.

Seperti tiga penganjuran CIPTA sebelum ini, peminat yang hadir juga disarankan mengenakan busana berkonsep batik sebagai simbol kebersamaan dan penghargaan terhadap seni warisan, sekali gus memeriahkan malam konsert yang penuh makna itu.

Must Watch Video