LOS ANGELES: Seramai 34 orang di 13 negeri di Amerika Syarikat (AS) dijangkiti strain Salmonella yang sama, dikaitkan dengan pendedahan terhadap ternakan ayam dan itik di laman rumah, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, lapor Xinhua.
Daripada 34 kes itu, 13 dimasukkan ke hospital dan tiada kematian dilaporkan, kata CDC dalam kenyataan media pada Khamis.
Menurut CDC, ayam dan itik yang dipelihara di laman rumah boleh menjadi pembawa bakteria Salmonella walaupun tidak menunjukkan tanda sakit dan kelihatan bersih.
Kebanyakan individu yang dijangkiti Salmonella mengalami cirit-birit, demam dan kekejangan perut dalam tempoh enam jam hingga enam hari selepas terdedah kepada bakteria itu, menurut CDC.
Penyakit itu biasanya berlarutan antara empat hingga tujuh hari dan kebanyakan pesakit pulih tanpa rawatan.
Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, jangkitan boleh menjadi serius sehingga memerlukan rawatan di hospital.
-- BERNAMA-XINHUA