VANCOUVER: Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, menzahirkan permohonan maaf secara terbuka kepada komuniti Tumbler Ridge, British Columbia, selepas syarikat itu gagal memaklumkan pihak berkuasa mengenai aktiviti dalam talian seorang individu yang kemudiannya melakukan serangan tembakan maut pada Februari lalu.
“Saya berasa amat kesal kerana kami tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai akaun yang disekat pada Jun lalu,” kata Altman menerusi sepucuk surat yang diterbitkan pada Jumaat.
Dalam surat sama, Altman mengaku kakitangan OpenAI telah mengenal pasti serta menyekat akaun milik penembak berusia 18 tahun, Jesse Van Rootselaar, pada Jun tahun lalu kerana melanggar polisi penggunaan berkaitan keganasan.
Bagaimanapun, OpenAI memutuskan untuk tidak merujuk perkara itu kepada Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP) kerana berpendapat aktiviti akaun berkenaan tidak memenuhi ambang rujukan undang-undang pada ketika itu.
Insiden tembakan pada 10 Februari lalu telah mengorbankan lapan orang, termasuk enam kanak-kanak dan seorang pendidik, selain mencederakan 25 yang lain.
Premier British Columbia, David Eby, menyifatkan permohonan maaf itu sebagai perlu, namun jauh daripada mencukupi berbanding penderitaan yang dialami keluarga mangsa.
Beliau sebelum ini berpandangan bahawa OpenAI berkemungkinan mempunyai peluang untuk mencegah tragedi tersebut sekiranya maklumat awal disalurkan kepada pihak polis.
Susulan kejadian itu, Altman menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan semua peringkat kerajaan bagi membangunkan keperluan baharu yang mewajibkan syarikat kecerdasan buatan menyalurkan maklumat berkaitan ancaman kepada pihak berkuasa, sebagai langkah mencegah tragedi sama berulang pada masa hadapan.