KOTA KINABALU: Telefon bimbit milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan ibunya, Noraidah Lamat antara 15 telefon bimbit yang dianalisis oleh Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asistan Superintenden Mohd Zaidi Abu Hassan.
Beliau yang juga saksi ke-70 dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina mendedahkan perkara itu menerusi keterangannya semasa ditanya peguam, Datuk Ram Singh di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.
Dalam prosiding itu, telefon milik Zara dirujuk sebagai WF1, manakala telefon milik ibunya sebagai WF11.
Beliau memaklumkan bahawa beberapa data telah diekstrak daripada telefon bimbit WF1, termasuk gambar, chat WhatsApp, dan video.
Beliau turut diminta mengesahkan gambar yang menunjukkan Zara bersama seorang individu lain sedang berbasikal, sama ada telah dikacau ganggu atau diubah suai.
"Mengikut pengalaman saya, gambar ini tidak diubah suai, dikacau ganggu... original (asli)," katanya menjawab soalan Ram Singh.
Selain itu, saksi turut mengesahkan bahawa video yang dirakam pada 12 Julai 2025, jam 5.30 petang, memaparkan Zara memakai jersi adalah rakaman asli tanpa sebarang gangguan atau suntingan.
Mahkamah juga dipaparkan tiga video daripada telefon bimbit lain (WF9), masing-masing berdurasi 24 saat bertarikh 9 Mac 2025, jam 11.37 malam, dan dua video berdurasi satu saat pada jam 11.27 malam serta 11.38 malam, yang menunjukkan lampu masih belum dipadamkan.
Prosiding ditangguhkan pada tengah hari dan akan bersambung semula pada jam 2.15 petang. -Sinar Harian