PUTRAJAYA: Kerajaan meneliti semula pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), terutama di Sabah dan Sarawak susulan isu penyeludupan bahan api yang semakin membimbangkan di negeri berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan kini mengkaji sama ada untuk meneruskan mekanisme sedia ada atau memperkenalkan pendekatan baharu.
Jelas beliau, kerajaan juga tekad memperkukuh kesiapsiagaan penguatkuasaan di lapangan.
“Mengenai mesyuarat Jawatankuasa Penguatkuasaan bagi menangani penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak, antara penegasan utama ialah keperluan meneliti mekanisme SKDS dengan lebih rapi, sama ada untuk diteruskan atau digantikan dengan pendekatan berbeza.
“Pembahagian bidang tugas agensi penguatkuasaan juga diperjelas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di darat, manakala Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bertanggungjawab di kawasan perairan, sungai dan sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media mingguan Kementerian Komunikasi, di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan Sarawak dan Sabah memberikan kerjasama penuh kepada KPDN bagi mengekang aktiviti penyeludupan diesel.
Menurut Anwar, harga bahan api itu berpotensi meningkat berikutan perbezaan harga yang lebih rendah di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung.
Anwar berkata perkara itu turut dibangkitkan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg supaya langkah penguatkuasaan dapat diperkukuh bagi memastikan subsidi bahan api tidak disalahguna.