Skip to main content

Malaysia

"Saya pergi ke kubur Qaseh Aulia setiap hari untuk ubat rasa rindu' - Ibu

QASEH AULIA
Maisarah berharap semoga insiden ini menjadi titik perubahan untuk pihak-pihak berkuasa untuk memandang serius kes berhubung anak-anak di taska. - Foto Astro AWANI

PETALING JAYA: Ibu bapa kepada bayi perempuan, Qaseh Aulia yang meninggal dunia akibat kecuaian pengasuhnya tiga tahun lalu, memaklumkan kepada pemberita bahawa mereka menghormati keputusan mahkamah.

Ibu kepada Qaseh Aulia, Maisarah Rosli, 36, berharap keputusan tersebut menjadi titik perubahan kepada pihak berkuasa agar lebih serius memantau kanak-kanak di pusat asuhan atau taska.

“Saya berharap semoga insiden ini menjadi titik perubahan untuk pihak-pihak berkuasa memandang lebih serius untuk kes anak-anak di taska.

“Supaya tiada ibu bapa yang rasa apa kami rasa, tiga tahun kami kehilangan dia,” katanya ketika ditemui pemberita di luar perkarangan mahkamah.

Maisarah turut menyeka air matanya sambil menyatakan rasa rindu terhadap anaknya yang meninggal dunia yang hanya berusia dua bulan 26 hari semasa kejadian.

“Kami tak dapat tengok dia membesar apa yang saya boleh buat saya pergi kubur dia hari-hari saya berbual di kubur dia, saya tahu dia tak dengar, tapi itu sahaja boleh ubat rasa rindu dekat dia,” katanya lagi.

Sementara itu Faizul Ali Adam, 36, selaku bapa kepada Qaseh menegaskan tindakan perundangan bukan bertujuan untuk membalas dendam namun untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat 

“Walaupun tiada hukuman yang dapat menggantikan nyawa anak kami, bukan tujuan kami untuk membalas dendam ataupun ingin menuntut kelebihan,” kata Faizul.

Image
PETALING JAYA, 22 Nov -- Pengasuh taska warga Indonesia, Mulyati Kalim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan bayi perempuan berusia dua bulan sehingga menyebabkan kematiannya, bulan lepas.  Mulyati, 51, didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga bayi itu, Qaseh Aulia Faizul, telah mengabaikan dengan meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga membawa kepada kematian.  Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Kota Damansara, di sin
Mahkamah turut mengarahkan Mulyati menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan.

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bekas pengasuh, Mulyati Kalim, 54, berkuat kuasa dari tarikh sabitan pada hari ini.

Hakim Dr. Syahlizah Warnoh menjatuhkan hukuman itu ke atas Mulyati Kalim, yang juga warga Indonesia selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Tertuduh juga perlu menjalani bon berkelakuan baik dalam tempoh tiga tahun dengan dua penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM5,000.

Mahkamah turut mengarahkan Mulyati menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan.

Pada masa sama, mahkamah turut menolak permohonan pihak pembelaan bagi penangguhan hukuman dan tertuduh akan menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Mengikut pertuduhan, Mulyati didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Kota Damansara pukul 9.40 pagi pada 10 Oktober 2023 yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.


 

Must Watch Video